Berita Harian

Penduduk tuntut hak tanah

Kawasan 117 hektar diteroka 20 tahun lalu kini milik pihak lain

- Oleh Razif Rosli cnews@nstp.com.my

Penduduk Kampung Batu 3 Jalan Tanjung Tualang di sini mengadakan perhimpuna­n aman bagi menuntut hak mereka ke atas 117 hektar tanah di situ yang sudah diusahakan sejak 20 tahun lalu tetapi didakwa diberikan kepada pihak lain.

Jurucakapn­ya, Mohd Arif Shaari, 52, berkata sejak tahun 1998 mereka sudah meneroka tanah di kawasan itu dan sudah beberapa kali memohon untuk menjalanka­n aktiviti pertanian dan perladanga­n.

Namun, katanya, secara senyap kerajaan terdahulu memberikan tanah yang diusahakan mereka hingga menjadi kebun kelapa sawit itu, kepada individu luar yang bukan daripada kalangan penduduk mahupun pengusaha ladang.

“Kami faham ia milik kerajaan tetapi tanah ini kami buka dari hutan rimba sampai kini menjadi kebun kelapa sawit, tetapi secara senyapseny­ap telah diberikan kepada orang lain.

“Berilah peluang kepada kami sebagai peneroka asal di sini, orang luar pula yang diutamakan, ini yang kami sedih dan rasa teraniaya,” katanya pada sidang media bersama 30 pengusaha yang terdiri daripada penduduk kampung itu.

Serah memorandum

Mohd Arif berkata, satu memorandum telah diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kampar akhir bulan lalu namun keputusan tidak memihak kepada penduduk kampung.

“Jadi, kami penduduk kampung mengharap perhatian Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu termasuk EXCO berkaitan untuk campur tangan dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Amir Asyraf Mohd Arif, 27, berkata kerajaan perlu meneliti kembali status tanah terbabit agar permohonan penduduk kampung diberi keutamaan.

“Saya dan beberapa pemuda kampung ini sudah mengusahak­an ternakan ikan air tawar, hasilnya kami agih mengikut bahagian masing-masing.

“Ada dalam kalangan kami yang tidak bekerja dan hanya mengharapk­an hasil ternakan untuk meneruskan kehidupan, jadi kami minta jasa baik kerajaan negeri untuk tangani isu ini,” katanya.

Berilah peluang kepada kami sebagai peneroka asal di sini” Mohd Arif Shaari, Jurucakap penduduk

 ?? [FOTO RAZIF ROSLI/BH] ?? Penduduk Kampung Batu 3 Jalan Tanjung Tualang mengadakan himpunan aman, semalam.
[FOTO RAZIF ROSLI/BH] Penduduk Kampung Batu 3 Jalan Tanjung Tualang mengadakan himpunan aman, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia