Calon UPSR, SPM antara 3 maut kereta dihempap treler

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

Kereta mangsa remuk di bawah treler yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh-taiping berhampiran pusat timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Kangsar malam kelmarin.

Kuala Kangsar: “Adik janji akan buat yang terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan, namun tuhan lebih menyayanginya,” kata Aishah Samsudin, 19, kakak kepada Muhammad Amirul Fahmi, 12.

Muhammad Amirul Fahmi, adalah murid Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Beluru, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh-taiping, berhampiran Kampung Jamuan di sini bersama dua rakan sekampungnya yang juga adikberadik, malam kelmarin.

Dua beradik yang maut adalah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan abangnya Muhammad Asyraf, 27.

Aishah berkata, keluarganya mengetahui mengenai kejadian apabila seorang jiran datang ke rumah dan memaklumkan kepada ayahnya kirakira jam 9.30 malam.

“Sebaik menerima berita itu saya bersama ayah terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kami dapati kereta masih berada di bawah treler berkenaan.

“Pilu hati apabila melihat ayah menangis di lokasi kejadian susulan pemergian adik bongsu saya itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, semalam.

Beliau berkata arwah adiknya keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang dijemput dua rakan sekampungnya itu dan difahamkan mereka ingin ke pekan Kuala Kangsar.

Ayah tak sedap hati

“Adik ada minta duit dengan emak sebelum keluar rumah dan mengatakan ingin ke pekan, namun sehingga jam 9 malam mereka tidak pulang.

“Ayah ada menyatakan perasaan tidak sedap hati kerana biasanya adik jarang pulang lewat jika keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada dua beradik yang maut, Hamdan Al Fikri Mat Baki, 57, berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 9 malam daripada seorang anaknya.

“Kebetulan ketika itu saya berada di Kuala Kangsar dan sedang memandu lori untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

“Sebaik terima maklumat saya terus ke lokasi kejadian dan sebaik tiba saya hanya mampu beristighfar apabila mendapati kereta saya yang dipandu anak remuk keseluruhannya dan masih terperosok di bawah treler,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Hamdan berkata, ketiga-tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kampung Beluru selepas dituntut kira-kira jam 8 pagi, semalam.

[ FOTO IHSAN BOMBA ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.