Penunggang koma dirempuh lembu

Mangsa, isteri bersama 20 peserta konvoi dalam perjalanan dari Batu Rakit ke Penarik

Berita Harian - - TRAGEDI - Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Diavel koma selepas dirempuh sekumpulan lembu ketika melalui kawasan Merang, petang kelmarin.

Difahamkan mangsa, Anuar Abd Rahim, 49, berasal dari Kuala Lumpur bersama 20 lagi peserta konvoi dalam perjalanan dari Batu Rakit, Kuala Terengganu menghala ke arah Penarik, Setiu untuk menikmati makan tengah hari kira-kira jam 2 petang.

Berada paling belakang

Isteri mangsa, Dewi Rosita Abdul Rahim, 48, berkata, ketika kejadian beliau berada pada jarak 10 meter di hadapan mangsa menunggang sebuah lagi motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster.

“Saya dan suami berada di kedudukan paling belakang dalam konvoi, manakala semua peserta lain sudah melepasi kawasan berkenaan.

“Ketika menunggang motosikal pada kelajuan sederhana secara tibatiba sekawan lembu sekitar 30 ekor Isteri mangsa yang berada di kiri jalan menyerbu ke arah kami.

“Saya kena rempuh oleh lembu dekat bahagian kaki kiri, tetapi masih dapat mengawal motosikal daripada terjatuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, nasib kurang baik menimpa suaminya kerana motosikalnya terjatuh dirempuh kumpulan lembu itu dan mengalami kecederaan serius menyebabkan pendarahan dalam otak.

Masih ditahan di ICU

Dewi berkata, mereka berdua dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Suami masih ditahan dalam unit rawatan rapi (ICU) dan belum sedarkan diri hingga ke hari ini (semalam).

“Doktor belum memaklumkan bila suami dibenarkan keluar dari hospital, tetapi saya difahamkan ia bergantung kepada tahap perkembangan kesihatannya,” katanya.

Dia berkata, sepanjang empat tahun mereka menyertai konvoi ia kali pertama terbabit dengan kemalangan membabitkan kumpulan haiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

[FOTO IHSAN PEMBACA]

Motosikal Ducati Diavel Annuar yang dirempuh sekumpulan lembu ketika melalui kawasan Merang, petang, semalam. Gambar kanan, Annuar dan Dewi Rosita bersama motosikal kuasa tinggi masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.