Sheila, Siti idaman Tulus
Penghibur terkenal Indonesia akui ikut perkembangan dua bintang terkemuka tanah air
Tanyalah mana-mana penyanyi sekalipun, pasti nama Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berada dalam senarai impian mereka untuk tujuan kolaborasi. Penghibur Indonesia, Tulus, tidak terkecuali memasang impian sebegitu.
Katanya, kredibiliti kedua-dua anak seni tersohor Malaysia itu bukan hanya memancing perhatian pendengar, malah menggamit keinginan penyanyi lain.
“Saya sering mengikuti perkembangan kedua-dua penghibur yang dihormati ramai ini dan berharap, suatu hari nanti saya berpeluang berpadu suara dengan mereka.
“Saya pernah bertemu dengan Sheila ketika hadir pada majlis perkahwinan sahabat kami di Bandung, baru-baru ini. Orangnya sangat merendah diri dan ramah.
“Kami sempat berbual mengenai dunia muzik. Beliau seorang yang sangat optimis dan kami saling bertukar perancangan masa depan,” katanya yang bakal mengadakan persembahan mega pertama di Istana Budaya pada 18 September ini.
Aura peminat Malaysia
Konsert Tulus Live @ Istana Budaya yang hanya tinggal beberapa hari lagi untuk direalisasikan diharap mampu mendekatkan dirinya dengan pendengar di negara ini.
Pemilik nama sebenar Mohd Tulus, 31, itu berkata, keghairahan menghiburkan peminat Malaysia selepas hampir tujuh tahun mengukuhkan nama di arena muzik membuatkan bulu romanya berdiri setiap kali membuka mulut bercerita perihal konsert.
“Saya pelik kerana perasaan kali ini sukar digambarkan. Mungkin keghairahan kali pertama ingin menghiburkan peminat di Kuala Lumpur menyebabkan rasa teruja dan gemuruh bersilih ganti.
“Lucu mengenangkan gejala yang saya alami ini. Kalau dilihat, saya bukanlah tidak pernah beraksi di luar Indonesia, cuma barangkali aura penggemar muzik di Malaysia yang menggandakan rasa teruja,” katanya lagi.
Berlatih tiga jam sehari
Tidak mampu menyembunyikan kegembiraan, Tulus memaklumkan dirinya kini menggiatkan latihan vokal bersama barisan pemuzik.
Bakal mendendangkan karya daripada album baharu, penyanyi ini tidak melupakan kehendak ramai yang meminta rangkaian lagu daripada album pertama, Tulus, yang diterbitkan pada 2011 dan Gajah (2014).
Antara dendangan yang sudah mendapat permintaan istimewa daripada peminat adalah dan
“Kalau dihitung sejak akhir bulan lalu, latihan vokal dan stamina sudah digiatkan. Sekurang-kurangnya saya berada di studio selama tiga jam setiap hari.
“Bagi saya, tidak kira besar atau kecil bilangan penonton yang hadir, paling utama adalah memberikan kesungguhan dalam berkongsi rasa dan kecintaan kita menerusi persembahan terbaik.
“Dari segi susunan lagu, takkan ada banyak perubahan. Saya percaya, ramai yang mahu mendengarnya dalam bentuk asal, cuma ia diindahkan dengan alunan instrumen tambahan. Paling penting, selain latihan, aspek kesihatan juga perlu dijaga. Saya memang mengambil air kosong sahaja dan mendapatkan tidur mencukupi,” kongsi artis berdarah Minangkabau ini dalam nada teruja.
Minat seni bina
Menerusi konsert terbabit, penyanyi yang mendapat lebih sejuta langganan di laman Spotify bakal mendendangkan lebih 15 lagu bagi dalam tempoh 90 minit.
Sempat berkongsi keinginan mahu meneroka Kuala Lumpur dengan lebih dekat, akuinya, selain muzik kecenderungan utamanya adalah seni bina.
“Kalau boleh saya mahu ke Melaka supaya dapat melihat bangunan klasik di sana, tetapi ada beberapa hal lain yang harus diselesaikan.
“Di mana-mana pun, andai berpeluang ke negara lain saya mahu meninjau sendiri destinasi menarik, terutama yang menonjolkan budaya sesuatu tempat,” dedah lulusan seni bina itu.
Tiket konsert laris
Mengenai sambutan memberangsangkan terhadap penjualan tiket konsert berkenaan, Tulus bersyukur apabila dirinya diterima ramai peminat tempatan.
Sementara itu, penganjur konsert, Shiraz Projects, memaklumkan 85 peratus daripada 1,400 tiket sudah dijual setakat ini dengan hanya tiket berharga RM695 dan RM360 yang masih berbaki.
Selepas konsert di Istana Budaya, Tulus bakal terbang pula ke Australia pada 19 September bagi menjayakan persembahan di negara terbabit.