MIFA gusar tanpa tiga tonggak

Berdepan JDT tanpa Melo, Rajesh, Sherman yang digantung perlawanan

Berita Harian - - SUKAN - Oleh Firdaus Hashim

Kehilangan tiga tonggak ketika MIFA bakal turun melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam malam ini cukup dirasai, apatah lagi lawan yang akan ditemui adalah juara bertahan Piala Malaysia.

Dua daripada tiga pemain yang tidak dapat beraksi adalah tonggak pertahanan, Elizeu Melo yang digantung satu perlawanan, susulan mengumpul dua kad kuning dan P Rajesh yang mengalami kecederaan pangkal paha.

Tonggak MIFA, Kpah Sherman turut digantung tiga aksi oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penyerang dari Liberia itu didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dengan menerjah lutut pemain Kedah, Liridon Krasniqi ketika keduadua pasukan bertembung pada 26 Ogos lalu.

Jelas jurulatih MIFA, K Devan, ketiadaan tiga pemain itu begitu dirasai ketika pasukan mahu menjayakan misi meraih tiket ke suku akhir.

Devan ubah formasi

“Jawatankuasa Tatatertib sudah memutuskan keputusan pada hari ini (semalam) dan kita terpaksa bermain tanpa dia (Sherman) serta dua lagi pemain lain.

“Ini suatu keputusan yang mengejutkan dan berlaku pada saat-saat genting yang tidak menyebelahi kita. Saya akui kekuatan kita akan kurang tanpa pemain ini.

“Namun, kita sudah ada pelan A dan B untuk menangani masalah ini. Kita akan gunakan pemain tempatan dengan sebaiknya dan sudah menukar serta mengubah formasi untuk menghadapi aksi ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas lima aksi peringkat kumpulan, MIFA masih mendahului carta dengan menghimpun lapan mata bersama Kedah di tangga kedua, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan, sementara JDT di kedudukan ketiga dengan enam mata.

Skuad kendalian Devan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke suku akhir apabila berdepan skuad Harimau Selatan itu nanti.

“Nasib pasukan kini di tangan pemain. Jika kami dapat mengharungi 90 minit terakhir ini dengan baik dan penuh disiplin, saya yakin kita mampu untuk mara sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam Piala Malaysia,” katanya.

Pada pertemuan pertama sebelum ini, MIFA berjaya mengejutkan JDT di halaman sendiri apabila mencatat kemenangan 2-1 di Larkin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.