Berita Harian

Skuad UITM dapat semangat tambahan

-

Kuala Lumpur: Jurulatih Universiti Teknologi MARA (UITM), Mohd Fahmi Mohd Hatta percaya kejayaan menjulang Piala Sumbangsih menjadi suntikan semangat buat pasukannya mengharung­i Liga Bolasepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) musim ini.

UITM muncul juara selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Universiti Putra Malaysia (UPM) di Stadium UITM Shah Alam, malam semalam.

Namun, Mohd Fahmi tetap mengingatk­an anak buahnya supaya tidak memandang mudah terhadap pasukan lain, walaupun UITM turut memegang status selaku juara bertahan Piala Menteri Pendidikan Tinggi.

“Apa yang dipamerkan oleh pemain saya (malam semalam) perlu dipertingk­atkan lagi.

“Kami akan berehat kira-kira dua minggu dan peluang itu akan digunakan untuk memperbaik­i segala kelemahan yang ada sebagai persediaan dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Semangat juang tinggi

Pada aksi pembuka tirai Liga IPT 2018 itu, malam gemilang UITM bermula pada minit ke-70, apabila Izzul Danish Fadzil meledak gol pembukaan selepas sepakan percuma menariknya berjaya memerangka­p penjaga gol UPM, Mohd Zulasyran Jamaluddin.

Selang 13 minit kemudian, kedudukan UITM semakin selesa apabila pertahanan UPM, M Saravanan tertampan bola ke gawang sendiri.

Muhammad Fahmi Mohd Sabri kemudian mengesahka­n kemenangan bergaya UITM apabila rembatan derasnya pada minit ke-88 berjaya menewaskan Zulasyran buat kali ketiga.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Mohd Fahmi berkata semangat juang yang tinggi dimiliki anak buahnya menjadi antara faktor utama mereka berjaya mengatasi saingan sengit UPM.

“Terima kasih kepada pemain, memang pada permulaan mereka nampak bergelut sebelum berjaya menyesuaik­an diri dengan corak permainan sebenar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia