Kesabaran Elly berbaloi

Berita Harian - - SUKMA XIX -

Tapah: Hampir bersara berikutan kecederaan yang menghantuinya, atlet angkat berat wanita Sabah, Elly Cascandra Engelbert mengetepikan kesakitan dialaminya untuk memenangi dua emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dan sekali gus membaiki rekod 10 tahun kategori bawah 53 kilogram clean and jerk wanita di Dewan Merdeka, Tapah di sini, semalam.

Atlet yang berasal dari Papar, Sabah itu membuat angkatan 72 kilogram dalam acara snatch untuk memenangi emas pertama sebelum mencatatkan 92kg untuk memenangi emas clean and jerk sekali gus membaharui rekod atlet Kelantan, Raihan Yusof pada temasya 2008 di Terengganu.?

“Baru-baru ini saya mengalami kecederaan di bahu selepas baru pulih daripada kecederaan belakang tahun lalu.

“Saya sudah terfikir untuk bersara pada tahun lalu disebabkan kecederaan tetapi jurulatih-jurulatih dan keluarga saya menasihati saya supaya tidak berputus asa.

“Jadi saya tujukan kemenangan pingat emas hari ini (semalam) dan juga rekod saya cipta buat mereka yang selalu percayakan saya,” katanya, di sini, semalam.

Elly yang berumur 18 tahun itu berkata kejayaannya pada penampilan ketiga di SUKMA adalah pencapaian terbaik buatnya selepas hanya memenangi dua gangsa pada temasya lalu di Sarawak dan dua perak pada SUKMA 2014 di Perlis.

“Kejayaan dua pingat emas kali ini sudah tentu menjadi penyuntik semangat bagi saya untuk kekal aktif dalam sukan ini dan saya akan cuba terus membaiki diri dengan bekerja lebih keras,” katanya.

Penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berkata beliau berhasrat untuk memenangi pingat pada Sukan Komanwel dan juga mahu bertanding pada Sukan SEA di Filipina tahun hadapan.

Pingat perak acara snatch bawah 53kg menjadi milik atlet Terengganu, Nurul Syafiqah Azmi dengan angkatan 64kg dan gangsa dimenangi Nurul Ain Husna Che Mohd Nor dari Perlis (63kg) sementara pemenang pingat perak clean and jerk dimenangi Nurul Ain Husna (82kg) dan gangsa dimenangi Nurul Syafiqah (81kg).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.