Berita Harian

Nanah

-

Nanah di jantung semakin membulat. Sebesar buah angkalak masak yang dijual di pasar Satok. Tiga tahun lepas, nenek diangkut ke alam lain. Sebiji buah angkalak menyatu atas dada kanannya.

Aku membungkus sebilah mata pisau cukur gillette dengan akhbar. Gambar mantan PM menunduk muka di depannya. Diambil dari dalam poket seluar datuk yang disangkut tepi peti ais. Dilindung hutan bakau di hulu sungai, tiada sesiapa mengesani aku. Duduk atas batang pokok nipah tumbang. Dinaungi bayang pokok pedada. Hari menggelap dan air sungai mula menyentuh hujung kaki. Aku mengibas-ngibas nyamuk dengan kepingan papan plywood hanyut. Tiada perahu penangkap ketam melintas. Aku bertekad menghiris nanah sebelum malam.

Setiap kali merenung cermin, muka aku senget mengerut dahi. Aku tidak menanggung kesakitan. Kebingunga­n. Tidak mengenali wajah sendiri. Apa sebenarnya menghuni dalam tubuh aku sekarang? Pandangan berlapisan. Komunikasi seperti terhalang. Tidak bersentuha­n dengan objek. Aku hampir meneguk cecair pencuci Clorox. Disebabkan itulah pergerakan aku diawasi. Dikurung dalam bilik dengan adik-adik perempuan dileka telefon pintar terpakai. Abang-abang aku terdampar di kaki lima dengan mata dilapisi ilusi narkotik. Pulang ke rumah dengan otak berpasir.

Sebulan lalu aku dihantar ke Hospital Umum Sarawak. Jam 11 malam. Aku tidak terseliuh. Tidak terluka parah. Aku dirujuk kepada doktor pakar. Apa magis yang mengubah personalit­i aku? Rangkaian keanehan berlaku selepas nenek dikebumika­n. Motosikal ditunggang­i bapa saudara sekeluarga­nya terbabas ke sungai dari atas jambatan. Pokok bunga kertas depan rumah yang mati bertahun sebelumnya, berbunga semula. Tong beras dipenuhi wang kertas. Kerajaan baharu mengambil alih pemerintah­an negara. Abang sulung berkopiah seperti tabligh 24 jam. Berjanggut dengan tasbih melekat di tangan. Namun sekejap. Datuk mula bersujud di sejadah dengan baju berbau minyak atar. Ayah tiri tidak berubah dengan misai nipis yang menjengelk­an. Tidak ambil tahu keadaan aku.

Dari hari ke hari, aku bagaikan jelmaan orang lain. Emaklah paling kalut oleh perubahan karakterku. Dari serabut matanya, emak cemas jika gangguan dialami berkaitan dengan kes remaja. Dihamili teman lelaki, siapa tahu? Tambahan keadaan keluarga kami ditanggap serong jiran-jiran. Suatu malam ayah tiri dikejar sekumpulan lelaki dengan parang. Disyaki memecah masuk rumah. Emak keliling kampung mencari ayah tiri. Di dahan pokok pedada, ayah tiri menyembuny­i dirinya. Keesokan pagi pulang ke rumah dengan seluruh badan calar-balar. Itulah risiko sebagai pengutip barang-barang terpakai. Jiran-jiran menjeling curiga. Dari mana kami memperoleh duit membeli beras timbang dan kopi di kedai?

Doktor di klinik swasta mengesahka­n tiada sindrom penyakit karsinogen­ik. Aku masih dara. Disuruh berehat. Pil demi pil ditelan. Dimuntah semula. Pawang menagih bermacam permintaan. Emak bersusah-payah menyediaka­n batang jarum, paku karat, telur lipas, ayam kampung, berkilo gula, dan semestinya duit. Desas-desus berterbang­an. Kononnya aku dirasuki semangat jahat. Tubuhku diresapi racun sihir. Dikirim melalui hembusan angin. Bahkan ada yang melihat lembaga asing duduk di bahuku. Rawatan demi rawatan dicuba. Ayat suci Al-quran dikumandan­g siang malam. Aku tidak sabar-sabar membelah nanah di jantungku.

Sebagaiman­a nenek perempuan berahsia ketumbuhan di balik baju kurungnya. Dia berlagak cergas. Membersih halaman rumah. Menganyam ketupat sehingga lewat pagi. Ketika masih normal, aku kerap bermalam di hospital. Mendengar nenek meracaurac­au tentang cucu-cucunya. Nenek selamat menjalani operasi membuang sebelah dada kanan. Namun ia bukan pemutus amukan virus. Paru-paru nenek dijangkiti kuman. Bantuan pernafasan dengan tangki oksigen hanya tempoh bertahan. Memasuki

Subuh, tirai dunia ditutup perlahan-lahan, menyingkir penderitaa­nnya. Ditakuti insiden sebegitu, emak mendorong aku ke bilik air. Aku melawan. Kedua-dua tangan berpaut pada sisi pintu. Aku menendang baldi berisi koyong nipah. Sudah tentu tiada benjolan di dadaku.

Di bawah lantai kayu berlumut yang hampir roboh, kelihatan cebisan kaca botol arak dan longgokan batang pucuk paku dari celahan lubang. Berdiri, angkat tangan, perintah emak. Aku disirami air dengan gayung. Air pili terasa mencucuk bagai mata jarum panas. Mata emak tertumpu pada perut aku yang meleper. Emak memeriksa alat kelamin dengan dagunya menyentuh pahaku. Aku kegelian. Dipermaluk­an. Belum masanya kau gatal mencari jantan. Bantu keluarga. Jangan jadi seperti dua abang kau. Berasa yakin status kedaraan aku, emak membasahka­n mukanya sebelum menutup pili air. Aku tahu emak menangis. Dengan

tuala terkoyak dikongsi adik-beradik lain, tubuhku dikeringka­n. Kemudian disapu bedak dan disarung pakaian seperti anak kecil.

Usia aku 17 tahun. Rambut panjang melepasi bahu. Diwarna perang seperti Lady Gaga. Dari kanak-kanak perempuan comot berkulit gelap dan aktif bersukan, aku kini menuju dunia berkabus. Termenung di tepi tingkap dari pagi hingga petang.

Tidak tahu ke mana fikiran menerawang. Di atas kerusi, aku melentokka­n kepala dan terus terlelap akibat kebosanan. Cahaya siang menyilau mata. Seperti ditarik sesuatu, aku berjalan menuju pintu depan. Duduk di anak tangga dan melilau bawah rumah. Seorang wanita tua melambaila­mbai. Wajahnya ditutupi rambut panjang beruban. Mencangkun­g sambil mengais-ngais selut dan segala sampah. Aku terjun menghampir­inya. Tiga hari kemudian aku ditemui terlentang di kubur nenek. Di telingaku terselit bunga kemboja.

Suatu hari emak ditawar pekerjaan. Isteri cikgu yang tinggal selang tiga rumah kami bakal melahirkan anak. Mesin basuh mereka rosak. Selama tiga minggu aku disuruh emak mencuci pakaian. Upah aku dipinta ayah tiri. Melangsai hutang judi. Bermabukan dengan seenakenak­nya di pasar Kuching.

Dua hari tidak balik rumah. Apa yang diangkut ke rumah, sebungkus tauhu dan bau busuk nafasnya. SPM telah dilalui. Aku tidak bersekolah lagi. Bagaimana masa depan kami adik-beradik? Menjadi manusia atau sebaliknya? Apakah ayah tiri bersikap seperti lelaki dewasa? Dadaku dilemasi persekitar­an bertoksik. Meruntuh pertumbuha­n intelek. Dunia aku kumuh dilumpuri kebencian. Tenggelam dalam dasar lautan gelap.

Emak meminjam duit untuk tambang teksi dan kos rawatan. Rantai emas pusaka dari nenek tidak tertebus di kedai pajak Jalan Carpenter. Dahulu emak berkerja sementara sebagai pencuci di tandas Lapangan Terbang Kuching. Di situlah dia berkenalan dengan ayah tiri. Dengan pakaian berbau minyak wangi murah dan peluh, emak berleter sepanjang perjalanan. Apakah berkaitan dengan dadah? Siapa menodai aku? Jari-jari tangannya yang kasar dan berurat mengelusel­us bahuku. Di bawah sinaran barisan lampu neon, wajahnya yang keletihan terpampang pada cermin sisi teksi. Tua dan suram ditimpa deretan masalah. Teksi ditumpang malam itu seakan terbang menembusi lapisan langit. Apakah buah angkalak masih melekat atas dada kanan nenek di alam sana?

Aku merenung langit tanpa bintang dan bulan. Bau syampu bertebaran dalam teksi dari rambut panjang kebasahan. Hati aku memberonta­k ingin keluar dari teksi. Sudah cukup rasa malu yang ditampung. Kini perlu berjumpa dengan doktor. Aku ditelanjan­gkan depan orang asing. Apakah aku sudah kurang waras? Adakah aku bakal dibedah untuk menyelongk­ar anasir berbahaya dalam tubuh? Adakah aku mati tanpa jantung dan paruparu selepas operasi? Aku ditahan seminggu. Berbaring dalam keadaan mamai. Ditunggui emak yang tertidur atas kerusi di sisi katil selepas menelan pil darah tingginya. Tiada makluman rasmi dari doktor tentang penyakit. Saintifik gagal memahami aku. Tidak mungkin demam biasa.

Ini bukan kali pertama kunjungan ke hospital. Sebelumnya, aku mengiringi emak kerana abang sulung terlibat pergaduhan.

Kalah dalam perjudian dan diransang alkohol, tercetusla­h pertelingk­ahan fizikal. Dua minggu abang aku dimasukkan dalam ICU. Terkena libasan parang. Perutnya terkoyak sehingga kelihatan tulang. Dia pengsan beberapa jam di ruang tamu. Darah melimpahi tikar getah tengah rumah. Ayah tiri aku mencapai parang dari dapur. Membalas dendam. Tangan emak lebih sasa. Merampas parang dari genggaman ayah tiriku. Kedua-duanya bergelut sehingga terbalik tin beras di dapur. Kalau masuk penjara, dihukum gantung, bagaimana dengan kami? Mengapa tidak tetak sahaja kami semua? Tengking emak dengan suara garaunya. Rambutnya kusut-masai dan kelelahan.

Ayah kandung dan ayah tiri, dengan seluar jeans lusuh dan rokok di celah jari, masingmasi­ng menggaru kepala. Hanya melihat keadaan aku dengan ekor mata kemerahan. Kedua-dua lelaki itu terbenam dalam pusaran alkohol. Ayah kandung aku selepas bercerai dengan emak, bernikah lagi. Bukan seorang. Tetapi dua kali perkahwina­n. Bercerai. Balik dari perantauan, tinggal bersendiri­an di rumah sewa tidak jauh dari rumah kami. Merayau-rayau di bandar dengan gaya anak muda. Pernah singgah ke rumah meminta sedikit makanan. Jarang aku menerima huluran duit daripada lelaki bertubuh kurus tinggi itu. Emaklah mentadbir kehidupan kami sekeluarga. Apa diharapkan dengan lelaki berusia menganggur?

Berulang-ulang ke hospital. Apa sakit aku sesungguhn­ya? Gangguan neurologi?

Terkena buatan orang? Emak menjemput ustaz lagi ke rumah. Seolah-olah memang benar Iblis menyelinap dalam jasadku. Adakah memang wujud lembaga asing di atas bahu sehingga mempengaru­hi pandangan mata? Kononnya kediaman kami kotor. Lahiriah juga rohaniah para penghuniny­a. Terasing daripada Tuhan. Rumah buruk kami di tebing sungai dikeliling­i pokok nipah. Dinding berlumut dan bumbung zink berkarat. Tiada sesiapa mendirikan sembahyang. Jadi, selayaknya rumah dengan bau arak dan sampah-sarap sekeliling rumah dikunjungi Iblis. Aku ingin melenyapka­n semuanya ini. Nanah di jantung kian berdenyut.

Di atas batang nipah.

Mata pisau gillette menyayat daging tubuhku. Semudah mengguntin­g kertas. Aku menyiat dada hingga ke pusat. Sesudah ditarik keluar, aku kini percaya tumbuh nanah di jantung. Sebesar buah angkalak masak. Lendirnya menguning bila dirobek. Busuk menusuk hidung. Bagaimana sakitnya ditanggung nenek dikerat sebelah buah dadanya? Mungkinkah kesan luka ditembus mata pisau bilik operasi masih dirasainya di alam sana? Aku masih menyaksika­n nenek duduk di ruang tamu dengan cermin mata baru. Setiap petang menyapu di halaman dengan baju kurung dibeli dari Kuala Lumpur.

Aku belum mahu pulang ke rumah. Bukan hanya nanah dalam tubuhku. Alangkah tidak terkira banyaknya buah angkalak dikeluarka­n dari dalam perut. Satu demi satu disaluti darah kehitaman. Aku melempar buah-buah angkalak ke tengah sungai. Langit menghitam. Hujan turun lebat ketika segalanya telah selesai. Dari kejauhan namaku dilaung berkali-kali. Mungkin emak dan adik-adik perempuan. Tetapi aku tidak mampu menjawab. Cahaya dari lampu sorot silang-menyilang di celahan pokok nipah. Seolaholah dipisah oleh benteng halimunan. Penglihata­n terbentang jelas tanpa jantung di bawah sinaran bulan.

Aku melangkah ke tebing dengan dada terbelah.

Menuju arah nenek yang melambai kepadaku. Kepalaku ditenggela­mi air. Berapungan mengikut arus. Separuh berbisik aku berdoa, moga terhapusla­h dosa-dosa manusia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia