Tun M mahu rantau ASEAN eksploitasi sumber ekonomi

PM kesal Nusantara tidak manfaat hasil produk, tambah nilai barangan

Berita Harian - - EHWAL ANTARABANGSA -

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedih kerana ASEAN tidak memanfaatkan sepenuhnya potensi sebagai kuasa besar ekonomi, walaupun mempunyai sumber yang banyak dan pasaran pengguna hampir 700 juta orang.

“Nusantara ini penuh dengan sumber yang kaya, bukan sahaja minyak tetapi ada juga banyak galian. Kita tidak mengeksploitasi dan jika kita keluarkan galian ini, kita boleh menggunakannya untuk menghasilkan barangan dan menambah nilai,” katanya yang kembali ke persada ASEAN selepas menjadi pemimpin nombor satu negara buat kali kedua.

Bercakap kepada BERNAMA dan RTM pada akhir Perhimpunan Pemimpin ASEAN, di sini, kelmarin, beliau berkata, ASEAN pada masa ini mempunyai penduduk hampir 700 juta orang yang mana ia semakin kaya, tetapi anehnya adalah, seperti Malaysia, ia juga adalah kumpulan pengguna.

“Mereka hanya membeli dan menggunakan barangan dari luar, sedangkan dengan jumlah penduduk (sebanyak) ini, ASEAN boleh menjadi pusat pengeluaran besar seperti China.

“China sebelum ini miskin, penduduknya juga miskin tetapi kerana penduduknya sangat besar, penggunaan tempatan menyokong industri negara.

Boleh jadi kumpulan besar

“Justeru, ASEAN boleh menjadi kumpulan yang sangat besar dan menjadi lebih kaya,” katanya.

Perhimpunan Pemimpin ASEAN itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global.

Mengenai jika ada sebarang industri khusus bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata: “Kita boleh melihat banyak motosikal di sini. Lebih banyak dari di Malaysia, tetapi tidak ada sebuah pun motosikal berkenaan dibuat di ASEAN atau Indonesia.”

Katanya, di sebalik pasaran domestik yang besar yang ia boleh gunakan untuk mempromosikannya, ASEAN tidak mengeksploitasi sepenuhnya.

“Mereka membeli dari luar - kereta, motosikal. Semuanya dibeli dari luar. Mereka boleh membuatnya di sini, jika kita tidak mempunyai teknologi berkenaan kita boleh mengimportnya.

“Kita boleh mendapatkan pelabur asing, tetapi kita tidak menuju ke arah itu.

“Saya tidak kecewa tetapi sudah 15 tahun saya tidak berada di sini, tetapi mereka masih tidak bersatu dengan baik,” katanya apabila ditanya mengenai kekecewaannya terhadap ASEAN.

Dr Mahathir berkata, kumpulan 10 ahli itu seharusnya mengetepikan perasaan wasangka bagi membolehkan kumpulan itu melaksanakan prinsipnya untuk memberi kemakmuran kepada jirannya.

“Ada beberapa perasaan yang berlarutan yang mana kita tidak boleh percaya antara satu sama lain. Bagaimanapun, kita tahu dengan pasaran yang ada, kita boleh menjadi sebuah kuasa yang sangat besar, tetapi setiap negara mempunyai undang-undang dan dasarnya,” katanya

Beliau percaya bahawa, jika undang-undang dan dasar, terutama yang berkaitan dengan pelaburan dapat diselaraskan, ASEAN boleh maju dengan pantas.

Undang-undang pelaburan berbeza

“Setiap negara mempunyai undang-undang pelaburan berbeza, kita seharusnya mempunyai yang sama, (mungkin) tidak seakan sama, supaya memudahkan untuk melabur di negara masing-masing. Pada masa ini ia tidak mudah,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan mampan, Dr Mahathir berkata, Malaysia sebenarnya sudah mencapai banyak sasaran yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Antara 17 SDG itu adalah tiada kemiskinan, sifar kelaparan, air yang bersih, pendidikan berkualiti, persamaan jantina, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, bandar raya mampan dan tindakan iklim yang perlu dicapai menjelang 2030.

“Dan saya fikir, jika rakyat mahir dengan perkara ini, banyak yang boleh kita sumbangkan kerana kita sudah mencapai banyak sasaran itu dan saya fikir jika kita bekerja bersama antara satu sama lain, kita boleh mendapat faedah daripada pengalaman mereka dan mereka boleh mendapat manfaat daripada pengalaman kita,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir, yang dikenali sebagai pemimpin yang lantang, berkata negara maju bersikap tidak adil kepada negara sedang membangun.

“Negara membangun di Barat memberitahu kita, mampan, mampan... yang bermakna bahawa anda tidak boleh lakukan ini, itu. Kerana ini salah, ini merosakkan hutan anda, haiwan, habitat dan macam-macam lagi.

“Bagaimanapun, bila mereka membangun, mereka tidak mempunyai masalah ini, mereka tidak bercakap mengenai pembangunan mampan atau sesuatu yang seperti itu.

“Mereka menebang semua pokok mereka. Ingat Robin Hood dan Hutan Sherwood? Sudah tidak ada Hutan Sherwood sekarang. Jadi, sekarang mereka memberitahu kita bahawa kita mesti menyerap karbon dioksida yang mereka hasilkan.

“Ini tidak adil,” sindir beliau.

[FOTO BERNAMA]

Antara pemimpin yang menghadiri Perhimpunan Pemimpin ASEAN (ALG) di Bali, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.