Pesalah jenayah berat wajar ke tali gantung: Musa

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Hukuman mati mandatori tidak perlu dimansuhkan kerana ia satu hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah melakukan jenayah berat dan serius, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, sebelum ini hukuman mati mandatori tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh mahkamah, sebaliknya mahkamah meringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

“Hukuman mati mandatori ini perlu dilaksanakan bagi kes serius seperti kes bunuh, pengedaran dadah dan kes membabitkan khianat serta sabotaj terhadap negara yang jelas boleh merosakkan ketenteraman awam dan masyarakat.

“Bagi saya ia patut dikekalkan, proses siasatan, risikan maklumat dan pendakwaan perlu diperkemas serta dilakukan dengan teliti supaya tidak wujud penganiayaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Musa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang dilaporkan berkata, pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Syor hukuman maksimum

Susulan itu, beliau berkata, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Penangguhan hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada lebih 1,200 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh pula berkata, hukuman mati adalah yang terbaik untuk pengedar dadah yang didapati bersalah kerana mereka secara perlahan-lahan membunuh ramai penagih yang membeli dadah daripada mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mencadangkan hukuman maksimum dalam kes pengedaran dadah jika hukuman mati dimansuhkan.

“Jika hukuman mati dimansuhkan, polis akan mencadangkan hukuman paling berat dijatuhkan ke atas kesalahan itu.

“Mengikut Akta Dadah Berbahaya, ada peruntukan menyatakan mahkamah boleh menghukum pengedar dadah dengan hukuman penjara seumur hidup dengan tidak lebih 15 kali sebatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohmad berkata, selaku penguat kuasa undangundang, beliau akan patuh dengan apa saja keputusan yang akan dibuat kelak.

Kerajaan perlu beri penjelasan

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu, selain memperhalusi cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori dari pelbagai sudut.

“Jika mengambil kira hak asasi manusia, keputusan itu juga perlu melihat keadilan kepada mangsa dan waris mereka.

“Kita juga melihat pelaksanaan setiap hukuman itu sebagai pengajaran dan bukan menzalimi mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, jika pemansuhan itu sebagai langkah penjimatan, kos pelaksanaan hukuman penjara seumur hidup lebih tinggi bagi seorang penjenayah.

“Kos penjara bagi seorang penjenayah ialah RM35 sehari dan jika dipenjarakan sehingga 20 tahun, kos itu sangat tinggi.

“Justeru, kerajaan perlu dedahkan kepada rakyat pengiraan kos bagi kedua-dua hukuman itu supaya dinilai dengan telus,” katanya.

Katanya, bukan semua negeri di Amerika Syarikat memansuhkan hukuman mati, malah Singapura masih melaksanakannya.

“Jika hukuman mati dilihat kejam dan menzalimi penjenayah, kerajaan boleh menggantikannya dengan suntikan maut. Kita gusar akibat terikut-ikut negara maju, kematangan kita berhujah mengenai hukuman ini terbatas dan sangat terhad,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.