Kementerian tak pernah bincang syor cuti sekolah berperingkat

Berita Harian - - DASAR&PENTADBIRAN -

Kuala Lumpur: Cadangan cuti sekolah berperingkat antara negeri hanyalah pandangan peribadi daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Baktiar Wan Chik.

Justeru, kerajaan memang tidak membincangkan atau melaksanakan idea berkenaan.

Perkara ini, dinyatakan sendiri oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Muhamaddin Ketapi yang turut menegaskan, cadangan daripada timbalannya itu bukan datang dari kementeriannya dan tidak pernah dibincangkan.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau (Muhammad Baktiar) dan ia tidak pernah dibincangkan dalam kementerian. Jika tanya pandangan saya, jawapan saya, tidak!” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Cerita Fesyen & Reka Bentuk Sweden dengan tema Kraf Persatuan di Balai Seni Negara, di sini, semalam.

Tak setuju dengan cadangan

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan Duta Sweden di Malaysia, Dag Juhlin-dannfelt.

Selasa lalu, Muhammad Bakhtiar mencadangkan cuti sekolah diadakan secara berperingkat antara negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan, namun kebanyakan pihak tidak bersetuju dengan idea itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata, dasar pelancongan China yang diperkenalkan beberapa tahun lalu bagi menggalakkan rakyatnya melawat destinasi domestik adalah antara faktor penurunan ketibaan pelancong dari negara itu ke Malaysia ketika berlangsungnya cuti umum Golden Week.

Tonjol warisan kreatif

“Cuti Golden Week di negara itu hanya seminggu sahaja, bermula 1 Oktober lalu apabila rakyat China digalakkan bercuti dalam negara.

“Kemerosotan pelancongan China tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi turut memberi kesan di seluruh dunia namun ia untuk tempoh seminggu sahaja,” katanya.

Dalam laporan media semalam, ketibaan pelancong dari China ke Malaysia, dianggarkan turun antara 30 hingga 35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan cuti Golden Week itu.

Terdahulu, pada majlis pelancaran Pameran Cerita Fesyen & Reka Bentuk Sweden, Muhamaddin berkata penganjuran pameran itu oleh Kedutaan Besar Sweden adalah usaha yang baik bagi menonjolkan warisan dan kreativiti negara itu.

Ia mengandungi 58 pameran dalam cetakan dan paparan produk dari IKEA, Daniel Wellington dan Assa Abloy

“Pameran ini juga membolehkan keduadua negara bertukar-tukar idea dan menjalin persahabatan dua hala,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.