Sidang kedua Parlimen 30 hari

Berita Harian - - DASAR&PENTADBIRAN -

Kuala Lumpur: Persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 akan berlangsung selama 30 hari bermula 15 Oktober hingga 11 Disember depan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah dalam kenyataan semalam berkata, notis pemberitahuan mesyuarat kepada anggota Dewan Rakyat sudah dikeluarkan pada 14 September lepas.

“Urusan pertama mesyuarat bagi minggu pertama dimulai dengan upacara mengangkat sumpah anggota Parlimen bagi mengisi kerusi Parlimen Port Dickson pada 15 Oktober, jam 10 pagi dan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Pada 18 Oktober pula, akan diadakan Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pukul 4 petang.

Pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November

Beliau berkata, perbahasan mengenai Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 akan berlangsung pada minggu kedua dan diikuti dengan menteri menjawab pada minggu ketiga.

Pembentangan Belanjawan 2019 pula akan diadakan pada 2 November, jam 4 petang, diikuti dengan perbahasan belanjawan itu di peringkat dasar pada minggu keempat dan kelima, seterusnya dibawa ke peringkat jawatankuasa pada minggu ketujuh dan kelapan.

“Dua hari terakhir akan diperuntukkan bagi Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu kesembilan.

“Sementara itu, Persidangan Dewan Negara akan berlangsung selama 12 hari dari 3 Disember hingga 11 Disember yang akan turut membentang dan membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan Belanjawan 2019,” katanya.

Dua hari terakhir akan diperuntukkan bagi Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu kesembilan” Roosme Hamzah, Setiausaha Dewan Rakyat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.