SPRM selesai rakam keterangan Zahid

Bekas TPM beri kerjasama sepanjang tiga hari siasatan kes dana Yayasan Akal Budi

Berita Harian - - ISU - Oleh Nor Ain Mohamed Radhi dan Safeek Affendy Razali

Selepas tiga hari memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu proses berkenaan sudah selesai sepenuhnya.

Ahmad Zahid berkata, SPRM berpuas hati dengan kerjasama diberikannya, selain turut bersedia kembali jika masih ada butiran dan maklumat lain diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Sepanjang proses merakam percakapan ini, saya memberi kerjasama sepenuhnya tanpa melindungi apa-apa maklumat dan saya harap tindakan ini dapat menjelaskan kekeliruan yang wujud dalam kalangan masyarakat.

Kerjasama penuh

“Saya harap tindakan sama seperti saya lakukan ini harus diikuti mana-mana pihak yang memberikan keterangan apabila dipanggil dan bekerjasama sepenuhnya kepada pegawai SPRM,” katanya sebaik sesi siasatan ke atasnya selesai dijalankan malam tadi.

Proses siasatan SPRM semalam bermula jam 9.30 pagi sebelum berhenti pada jam 12.10 tengah hari untuk sembahyang Jumaat dan siasatan bersambung semula pada jam 3.10 petang sehingga jam 7.40 malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, beliau amat menghargai tindakan dilakukan pegawai dan kakitangan SPRM yang dianggap menjalankan tugas penuh profesional sepanjang proses siasatan berlangsung bermula Rabu lalu.

“Saya juga bersedia datang semula memberikan keterangan sekiranya maklumat sebelum ini tidak memenuhi keperluan dalam penyiasatan mereka (SPRM),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang proses berkenaan, beliau memberikan butiran terperinci siasatan bagi menjelaskan tujuh perkara yang menjadi bahan siasatan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menjelaskan butiran atau maksud tujuh perkara yang dinyatakannya itu.

Tiada kaitan 1MDB

Berdasarkan maklumat sumber, siasatan dijalankan ke atas Presiden UMNO itu merujuk kepada penggunaan dana dalam Yayasan Akal Budi sebanyak RM800,000 yang digunakan untuk menjelaskan bayaran kad kredit miliknya.

Ini bermakna ia tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau penderma RM2.6 bilion kepada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber berkata, siasatan ini dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH]

Ahmad Zahid keluar selepas memberi keterangan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.