Wajib suntikan keputusan bijak tingkat kesihatan

Berita Harian - - MUKA SEPULUH -

Pengamal perubatan yang sebelum ini memperjuangkan hak mendapatkan rawatan kesihatan untuk semua dengan pemberian vaksin pneumokokal menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), kini boleh menarik nafas lega.

Perjuangan dilaungkan sejak sekian lama itu akhirnya didengari, dengan kerajaan baru-baru ini membuat keputusan mewajibkan suntikan berkenaan kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun.

Peruntukan tambahan untuk tujuan itu akan dibentangkan pada Bajet 2019 tidak lama lagi. Suntikan vaksin pneumokokal hanya pilihan, hanya yang berkemampuan mengambilnya sebagai perlindungan tambahan kepada anak masing-masing.

Pengambilan vaksin bertujuan mengelak jangkitan penyakit bahaya antaranya pneumonia ( jangkitan paru-paru), jangkitan darah (sapticaemia) serta kegagalan fungsi otak atau meningitis. Semua jangkitan ini jika lambat dirawat boleh membawa maut atau kecacatan kekal.

Kesihatan untuk semua

Pelaksanaan bertepatan slogan kesihatan untuk semua, kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang sosial berpeluang menikmati perkhidmatan rawatan terbaik percuma. Ini memandangkan vaksin sebagai satu keperluan melindungi anak daripada jangkitan.

Hak mereka mendapatkan rawatan itu sepatutnya sudah dilaksanakan lebih awal, mungkin lima atau 10 tahun lalu kerana vaksin pneumokokal ini sudah diperkenalkan hampir 20 tahun lalu. Namun, disebabkan faktor kewangan, kerajaan terpaksa menangguhkan hasrat itu.

Sebagai pengamal perubatan, kami gembira dan bersyukur kerana inisiatif kerajaan memberi peluang semua pihak menikmati kemudahan kesihatan terbaik. Secara tidak langsung, penyediaan perkhidmatan kesihatan terbaik ini sebahagian daripada usaha kerajaan berkongsi hasil kekayaan negara untuk dinikmati bersama.

Vaksin percuma

Vaksin ini bakal diberikan percuma di semua klinik dan hospital kerajaan, pemberian itu secara tidak langsung menstabilkan harga bekalan di pasaran terbuka.

Pada masa sama, ia memberi pilihan ibu bapa yang selesa mendapatkan perkhidmatan di klinik mahupun hospital swasta mengambil vaksin berkenaan untuk anak mereka pada harga lebih murah, berbanding RM250 untuk sekali suntikan.

Saya ada menyarankan kepada ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah kesihatan mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal sebagai perlindungan tambahan mengelak jangkitan, selain meningkatkan sistem imun badan. Lazimnya kanak-kanak yang mempunyai masalah sistem pernafasan, terutama asma antara individu digalakkan mengambil vaksin pneumokokal.

Kini dengan ada keistimewaan itu, ibu bapa sepatutnya lebih terbuka, bersedia membenarkan anak mereka mendapat suntikan.

Tidak dinafikan dalam usaha kerajaan proaktif menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik, ada segelintir pihak mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak tepat hingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak yang lebih terbuka serta patuh bagi setiap prosedur pemberian vaksin seperti disarankan pakar.

Lazimnya kanak-kanak yang mempunyai masalah sistem pernafasan, terutama asma antara individu yang digalakkan mengambil vaksin pneumokokal”

Doktor sebarkan maklumat

Kini tugas pengamal perubatan lebih mencabar, selain merawat, kami bertanggungjawab menyalurkan maklumat dengan tepat kepada ibu bapa mengenai pentingnya pengambilan vaksin seperti ditetapkan NIP.

Tidak adil jika golongan antivaksin mempengaruhi ibu bapa lain supaya bersetuju dengan keputusan mereka. Ini disebabkan setiap individu mempunyai sistem imun badan berbeza. Mungkin anak anda kuat, tetapi tidak bagi anak orang lain. Sistem badan, persekitaran dan genetik setiap individu berbeza.

Tambahan pula bagi anak yang menetap di kawasan bandar yang tercemar, faktor persekitaran menyebabkan mereka mudah dijangkiti.

Migrasi sosial menyebabkan ramai berhijrah ke kota, kepadatan penduduk, sistem pusat asuhan yang menempatkan ramai kanakkanak dalam satu premis mengundang risiko serangan pelbagai penyakit. Semua faktor ini menyumbang kepada persekitaran tidak sihat dan anak mudah dijangkiti.

Pakar perubatan dalam semua bidang pengkhususan bertanggungjawab menyampaikan mesej jelas kepada ibu bapa mengenai pentingnya suntikan pneumokokal supaya mereka dapat membuat keputusan rasional tidak mudah terpengaruh dengan maklumat meragukan daripada kumpulan antivaksin.

Keputusan rasional

Keputusan ini juga bertepatan dengan senario semasa, kepesatan ekonomi negara membawa kepada kemasukan lebih ramai pekerja asing bagi memenuhi pelbagai sektor pekerjaan.

Kemasukan mereka yang tidak diketahui latar belakang juga berisiko membawa penyakit berbahaya. Pembantu rumah dan pengawal keselamatan di kediaman kita sekalipun, tidak dapat disahkan tahap kesihatan mereka.

Dengan adanya suntikan tambahan ini, sekurang-kurangnya kerajaan mengambil langkah perlu melindungi generasi muda daripada sebarang jangkitan.

Kajian klinikal antarabangsa setelah 20 tahun vaksin pneumokokal ini diperkenalkan kepada kanak-kanak jelas membuktikan bahawa ia mampu melindungi hampir 95 peratus jangkitan kuman. Suntikan ini berupaya menurunkan kadar kes kematian kanak-kanak bawah lima tahun berpunca jangkitan pneumokokal dengan drastik.

Berikutan itu, sejak 2007 lagi Pertubuhan kesihatan sedunia (WHO) menyarankan semua negara memasukkan vaksin pneumokokal dalam program NIP.

Vaksin pneumokokal dalam bentuk suntikan boleh diberikan seawal bayi berumur enam minggu. Ia sangat selamat serta boleh diberikan serentak dengan suntikan imunisasi bulanan bayi yang lain. Pada kebiasaannya vaksin ini diberikan kepada bayi pada usia dua, empat dan enam bulan. Namun, jadual ini boleh diubah suai mengikut NIP negara masing masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.