Risiko gempa bumi di Malaysia

Berita Harian - - ISU -

Gempa bumi berskala 7.4 magnitud disusuli tsunami melanda Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah, Indonesia pada 28 September lalu mengingatkan rakyat negara ini kepada gempa bumi di Sabah, dua tahun lalu.

Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegarkan Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau pada 5 Jun 2015 itu mengorbankan 18 orang, termasuk 10 warga Singapura.

Gempa bumi yang berlaku di negara ini agak membimbangkan, khususnya di Sabah yang kerap direkodkan berlaku bencana alam berkenaan, manakala di Semenanjung dan Sarawak kerisauan agak rendah.

Dari segi kedudukan geologi dan geografi Malaysia pada umumnya terletak di kawasan yang agak stabil dan hanya sedikit dipengaruhi aktiviti gempa bumi dan letupan gunung berapi dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang sering dikaitkan dengan Lingkaran Api Pasifik.

Hanya Sabah dari segi geografi berhampiran kawasan aktif gunung berapi di Filipina secara relatifnya mudah berlaku gempa bumi bermagnitud sederhana.

Sukar berlaku

Pengarah Pusat kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul menjelaskan gempa bumi yang besar, iaitu lebih 6.5 pada skala Richter sukar berlaku di Malaysia, kerana kedudukan geografinya yang agak jauh dari kawasan berlaku perlanggaran plat bumi.

Berdasarkan rekod gempa bumi dunia, beliau berkata, gempa bumi lebih besar 6.5 pada skala richter hanya berlaku di kawasan perlanggaran plat bumi.

Kekuatan gempa bumi di negara ini sebahagian besar adalah rendah, sesuai dengan kedudukan geologi dan geografinya.

“Misalnya di Semenanjung dan Sarawak, kekuatan gempa sekitar 3 hingga 5 pada skala Richter sahaja kerana Semenanjung dan Sarawak terletak pada plat bumi yang secara relatifnya agak stabil,” katanya kepada BH.

Jabatan Mineral dan Geosains Malasyia menerbitkan Peta Bahaya Gempa Mumi di Malaysia pada 2017. Peta itu menunjukkan taburan lokasi kawasan yang tahap bahayanya berkedudukan agak tinggi.

Kesan gempa

Kejadian gempa bumi didorong oleh pergerakan plat bumi. Di Semenanjung perlanggaran plat bumi India-australia dan plat bumi Sunda di sepanjang Peparit Sunda menghasilkan stres kepada Semenanjung sehingga menggerakkan semula kesan gempa kuno sedia ada di situ.

Di Sabah dan Sarawak pula, perlanggaran antara plat bumi Sunda dan plat bumi Filipina dan sepanjang Peparit Filipina menghasilkan stres kepada Sabah dan Sarawak. Sabah menerima lebih stres menyebabkan kejadian gempa bumi di Negeri di Bawah Bayu lebih kerap berbanding tempat lain di negara ini.

Sabah akan terus dilanda gempa bumi bersaiz sederhana, iaitu kurang dari 6 pada skala Richter termasuk kawasan Gunung Kinabalu, Ranau, Lahad Datu, Kunak dan Kudat.

Bagaimanapun, kegiatan mendaki Gunung Kinabalu masih selamat walaupun berlaku gempa bumi di sekitar gunung tertinggi di Malaysia itu. Ini disebabkan laluan mendaki gunung sudah diubah untuk mengelakkan jatuhan batuan yang teruk.

Jabatan Meteorologi sudah memasang 20 alat pengesan gempa bumi di Sabah.

Antara kejadian gempa di Ranau tahun ini ialah pada 8 Mac lalu, iaitu gempa bumi berukuran 5.2 pada skala richter dengan kedalaman lima kilometer dan 3 April lalu berukuran 4.0 pada skala Richter.

Pada 16 September lalu pula, gempa berskala 3.7 magnitud melanda Kinabatangan di Pantai Timur Sabah yang turut dirasai di sekitar daerah itu, Sandakan dan Lahad Datu, namun tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Tanah runtuh

Gempa bumi menyebabkan tanah runtuh yang berleluasa di kawasan Gunung Kinabalu. Runtuhan batuan dan tanah ini diangkut masuk dalam sungai di sekeliling gunung termasuk Sungai Kadamaian, Kota Belud.

Ini menyebabkan banjir lumpur kerap berlaku dan menyebabkan pemendapan sedimen yang sangat luar biasa di hilir sungai, seperti yang berlaku di kawasan pekan Kota Belud. Ini menyebabkan sungai menjadi sangat cetek dan kini kerap berlaku banjir.

Bangunan di Malaysia dibina dengan piawaian tertentu dan pada umumnya tahan terhadap gempa bumi yang bersaiz kecil dan sederhana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Prof Madya Dr Ramzah Dambul, menyatakan gempa bumi tiada kaitan dengan perubahan iklim.

Beliau yang juga pakar klimatologi menjelaskan perubahan iklim di negara ini hanya membabitkan hujan luar biasa, peningkatan paras laut dan banjir luar biasa.

“Pemanasan global menyebabkan berlaku perubahan cuaca sehingga kawasan yang sebelum ini tidak dilanda banjir kini mengalami fenomena itu,” katanya.

Gempa bumi yang besar, iaitu lebih 6.5 pada skala Richter sukar berlaku di Malaysia, kerana kedudukan geografinya yang agak jauh dari kawasan berlaku perlanggaran plat bumi” Felix Tongkul, Pengarah Pusat kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.