68,317 pengundi bakal tentukan wakil rakyat PD

Dua nama besar dilihat bakal corakkan hala tuju Port Dickson

Berita Harian - - PILIHAN RAYA KECIL -

Hari ini, seramai 68,317 pengundi bakal membuat perhitungan muktamad di peti undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson untuk memilih Yang Berhormat baharu.

Dua minggu kempen berlalu, mudah dirumuskan sebahagian besar undi kelak bakal dikuasai oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Dua nama besar dengan pengaruh tersendiri itu juga bakal mencorakkan hala tuju Port Dickson selepas ini, sama ada menghirup harapan baharu atau bebas menentukan haluan dengan cara tersendiri.

Anwar muat naik klip video

Dalam pada itu, memanfaatkan beberapa jam terakhir sebelum detik tengah malam tadi, Anwar memuat naik klip video sorotan perjalanan kempennya sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Video berdurasi hampir empat minit yang dimuat naik menerusi medium media sosial termasuk akaun Facebook dan Twitter rasminya, memaparkan aktiviti Ketua Umum PKR terbabit selama 14 hari tempoh berkempen bermula 29 September lalu yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Klip video yang mula dimuat naik tengah hari semalam, memaparkan sorotan bermula pada hari penamaan calon sehingga kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada program ceramah, Isnin lalu.

Klip video itu diakhiri dengan rayuan jentera parti termasuk anaknya, Nurul Nuha Anwar, supaya memilih bapanya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu.

Kempen Ketua Umum PKR itu berakhir malam tadi, dengan program ceramah kemuncak di empat lokasi berbeza sebagai penutup tempoh berkempen PRK Port Dickson.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru membabitkan Anwar dengan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.