UMK laksana Pusat Keusahawanan Sosial

Kementerian Pendidikan benar universiti tunjuk ajar bidang perniagaan kepada penuntut terpilih

Berita Harian - - KEUSAHAWANAN - Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Memasuki 11 tahun penubuhannya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bakal membuka lembaran baharu apabila diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan Pusat Keusahawanan Sosial.

Menerusi kepercayaan yang diberikan oleh kementerian itu, Pusat Keusahawanan Sosial ini akan berperanan memberi tunjuk ajar dalam bidang keusahawanan kepada penuntut UMK yang terpilih, selain daripada Universiti Awam (UA) lain.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata setiap penuntut yang terpilih akan dilatih supaya tujuan utama mereka menceburi bidang perniagaan bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menyelesaikan masalah sosial selain memberi impak kepada rakyat.

Latih 30 penuntut

Katanya, memandangkan penubuhan Pusat Keusahawanan Sosial diluluskan oleh Kementerian Pendidikan tahun ini, UMK bertanggungjawab melatih 30 penuntut sebagai projek pertama, termasuk dua wakil daripada setiap UA lain.

“Menerusi program berkenaan, penuntut perlu menjalani tiga peringkat iaitu tahap pertama dalam tempoh seminggu. Mereka yang menunjukkan prestasi baik dalam peringkat pertama, akan ke peringkat seterusnya.

“Sekiranya berjaya pada peringkat kedua, mereka akan membuat kertas kerja dan membentangkan kepada panel terdiri daripada pensyarah dan wakil daripada bidang industri, apa jenis perniagaan yang mereka akan lakukan dan kesannya kepada masyarakat.

“Jika kertas kerja mereka dirasakan wajar dan boleh diteruskan, kita akan bagi modal dalam bentuk mikro kredit,” katanya.

Husaini berkata, menerusi Pusat Keusahawanan Sosial itu, perkara utama ialah mendidik mereka yang terbabit dalam bidang perniagaan supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan atau memikirkan isu keuntungan semata-mata, sebaliknya setiap apa yang dilakukan itu memberi impak selain menyelesaikan masalah kepada masyarakat setempat.

Katanya, apa yang membanggakan UMK ialah hasil laporan sehingga 2017, secara keseluruhan selepas enam bulan penuntut menghabiskan pengajian, sebanyak 70 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan sama ada berniaga, kakitangan awam atau swasta.

“Laporan berkenaan membanggakan kita kerana UMK baru berusia 11 tahun, kita menyasarkan 80 peratus graduan UMK berjaya mendapat pekerjaan.

“Apa yang memberi kelebihan kepada penuntut UMK adalah mereka diberi kursus keusahawanan khas dan wajib diambil tidak kira apa jurusan yang mereka ambil.

“Sejak berada di universiti lagi kita sudah bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya setiap pelajar mampu membuka syarikat masing-masing,

“Sehingga kini, 367 syarikat ditubuhkan membabitkan 649 pelajar dan kita kenal pasti mereka masih aktif walaupun sudah tamat pengajian. Namun pada masa sama, UMK kini sedang mengumpul data maklumat bekas penuntut UMK bagi mengetahui hala tuju mereka,” katanya.

Bagi meningkatkan kecemerlangan UMK, Hussaini berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan strategik dengan mengambil semua peluang yang ada.

“Ini dapat dilihat apabila UMK mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan wujudnya pusat sumber digital, diikuti kerjasama akademik dengan Universiti Seoul, Korea Selatan dalam aspek pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Selain itu, Sudut Amerika oleh kedutaan Amerika Syarikat juga ditubuhkan di UMK. Ini menunjukkan UMK mampu menjadikan pusat rujukan serantau,” katanya.

Husaini berkata, kepada 2,721 penuntut yang bergraduasi menerusi 13 sidang bermula hari ini, beliau mengharapkan masing-masing lebih bertanggungjawab kepada keluarga kerana tanpa kasih sayang ibu bapa, mereka tidak mampu mengikuti pengajian sehingga ke menara gading.

“Saya juga mengharapkan graduan manfaatkan ruang serta peluang yang diberikan agar dapat mencipta kejayaan pada masa hadapan untuk meneruskan misi pencarian ilmu,” katanya.

Menerusi Pusat Keusahawanan Sosial, perkara utama ialah mendidik mereka yang terbabit dalam bidang perniagaan supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan atau memikirkan isu keuntungan semata-mata sebaliknya setiap apa yang dilakukan itu memberi impak selain menyelesaikan masalah kepada masyarakat setempat” Husaini Omar, Naib Canselor UMK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.