Pembebasan tuduhan rasuah Guan Eng, Li Koon kekal

Berita Harian - - MAHKAMAH -

Georgetown: Pembebasan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada tuduhan rasuah kekal apabila Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan mengkaji semula keputusan mengenainya sebelum ini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, permohonan itu ditolak berikutan pemohon, Muhsin Abdul Latheef, tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk memfailkan kes itu.

“Pemohon hanya seorang pengadu dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan prosiding dalam kes terbabit, oleh itu dia tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam memfailkan permohonan itu.

Fail permohonan

“Sepatutnya, pihak pendakwa yang perlu memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah juga menyatakan bahawa mahkamah juga tidak mempunyai kuasa untuk menyemak dan mengkaji semula pertuduhan itu.

Katanya mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, hanya Peguam Negara yang mempunyai kuasa tunggal untuk menuntut, menarik balik pertuduhan dan mengurangkan pertuduhan dalam mana-mana kes tertentu dan tiada seorangpun, mahupun mahkamah, mempunyai kuasa mempersoalkannya kecuali Perkara 145 dikaji semula.

“Dalam kes ini, saya mengesahkan bahawa pengadu tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan kerana dia bukan tertuduh.

“Saya boleh membuang kes ini dalam masa lima minit namun saya perlu mendengar daripada semua pihak untuk memberi keputusan yang adil,” katanya.

Muhsin hadir ditemani peguamnya J Gunamalar, manakala Ramkarpal Singh dan Datuk V Sitthambaram masing-masing mewakili Guan Eng dan Li Khoon.

Pemohon hanya seorang pengadu dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan prosiding dalam kes terbabit, oleh itu dia tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam memfailkan permohonan itu” Hadhariah Syed Ismail, Hakim Mahkamah Tinggi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.