Setiausaha Sulit Kanan MB didakwa beri keterangan palsu

Berita Harian - - MAHKAMAH -

Ampang: Setiausaha Sulit Kanan kepada seorang Menteri Besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memberi keterangan palsu berhubung seorang wanita yang didakwa mengedar dadah, Jun lalu.

Tertuduh, Herwadey Hashim, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi keterangan palsu dengan maksud hendak menyebabkan Sarina Kasim, 34, yang bekerja di sebuah syarikat swasta disabitkan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengikut undang-undang, boleh dihukum gantung sampai mati.

Keterangan palsu

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ampang Jaya, di sini pada jam 11.30 pagi, 29 Jun lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 194 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Jamil Mohamed Shafie yang mewakili Herwadey memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya seorang penjawat awam iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada seorang Menteri Besar dan perlu menanggung empat anak.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, saksi pendakwaan dan pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.