2 polis marin jaga ‘line’ seludup rokok ditahan

Rampasan RM9 juta dalam operasi di Johor Bahru lumpuhkan sindiket

Berita Harian - - JENAYAH - Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Safeek Affendy Razali cnews@nstp.com.my Mersing

Dua anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor antara 23 individu yang ditahan ketika polis melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok membabitkan nilai rampasan berjumlah RM 9 juta, pagi kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya menjalankan siasatan dan menahan kedua-dua anggota itu selepas dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Peranan kedua-dua lelaki yang berpangkat koperal sebagai jaga line, untuk memastikan keadaan laluan penyeludupan selamat digunakan.

Kedudukan paling hadapan

“Berdasarkan siasatan awal, mereka bergerak dalam kedudukan paling hadapan semasa sesuatu proses membawa rokok seludup dijalankan sindiket.

“Tujuannya bagi memastikan tiada sekatan jalan raya oleh polis atau pihak berkuasa. Sekiranya ada, sindiket akan berpatah balik atau bersembunyi di lokasi lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Acryl Sani berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan terperinci berhubung pembabitan kedua-dua anggota polis marin berusia 30-an itu.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis berkenaan ditahan bersama dalang sindiket penyeludupan rokok itu di sekitar Johor Bahru dalam operasi bermula Rabu lalu.

Terdahulu, polis menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar di Pantai Timur Johor dengan tertangkapnya 23 individu dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini, bermula Rabu lalu.

Acryl Sani berkata, operasi membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di dua kilang dan kediaman perseorangan sekitar negeri ini.

“Operasi ini menahan tujuh lelaki tempatan dan 16 lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 46 tahun.

Serbu tiga lokasi

“Sebanyak 19 kereta, lima lori tiga tan, 1,332 kotak rokok dan wang tunai RM9,645 dirampas dalam beberapa serbuan itu.

“Tiga lokasi yang diserbu ialah sebuah kilang di FELDA Tenggaroh 2 dan di Nusajaya, dan sebuah rumah di Taman Johor Jaya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket penyeludupan rokok terbesar di Pantai Timur Johor itu bergerak aktif sejak 2017.

“Kita juga masih menyiasat sejauh mana pembabitan sindiket ini. Buat masa ini kami dapati mereka terdiri daripada pengedar rokok kecil-kecilan di sekitar Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur,” katanya.

Acryl Sani berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan kenderaan mewah sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Ia berdasarkan 19 kenderaan yang dirampas bernilai RM3 juta seperti Toyota Vellfire dan Toyota Estima,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati satu lori dirampas ada rekod dilaporkan hilang pada 2012, manakala tiga kenderaan lain tiada dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

[FOTO MOHD SABRAN MD SANI /BH]

Acryl Sani memeriksa rokok seludup yang dirampas pada sidang media di IPD Mersing, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.