Lebuh raya tanpa tol sukar dilaksana

Kerajaan boleh fikir kaedah lebih berkesan ringan perbelanjaan perjalanan pengguna

Berita Harian - - BISNES - Oleh Nora Mahpar

Lebuh raya tanpa tol sukar dilaksanakan memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi menambahkan lagi beban kewangan kerajaan yang ketika ini dalam proses pemulihan.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusmawati Said, berkata lebuh raya bertol adalah diibaratkan seperti ‘produk’ swasta manakala lebuh raya bebas tol adalah hak milik awam.

“Kebanyakan lebuh raya bertol ketika ini adalah barangan swasta. Jika mahu mudah dan cepat, maka rakyat boleh memi- lih barangan swasta tetapi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang sedikit tinggi. Samalah seperti keadaannya pada lebuh raya bertol ini.

“Penswastaan berkenaan adalah untuk mengurangkan kos bagi pihak kerajaan dan meningkatkan kecekapan. Ianya langkah yang baik ke arah menuju negara maju,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dr Mahathir dalam kenyataannya mendedahkan beliau tidak bersetuju adengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Beban besar

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar.”

“Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma. ia tidak boleh (dilakukan). Satusatunya cara untuk mengadakan laluan percuma adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya pada Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Bali.

Mengulas lanjut, Rusmawati berkata, kerajaan mungkin tidak boleh mewujudkan lebuh raya tanpa tol, namun boleh memikirkan satu kaedah lain yang lebih berkesan untuk membantu golongan yang menggunakan tol, supaya beban perbelanjaan yang diperuntukkan untuk tol itu dapat dikurangkan.

“Kebanyakan golongan yang mengunakan tol ini adalah golongan di bandar. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan selepas menjalankan kajian mantap dan mengambil kira analisis ekonomi seperti kos dan faedah sebelum mengumumkan kepada rakyat.

“Dalam ekonomi untuk membaiki satu masalah atau sektor bukanlah dengan hanya melihat ke arah satu masalah atau sektor sahaja tetapi ekonomi membabitkan rantaian beberapa masalah dan sektor,” katanya.

Menyentuh mengenai teguran Dr Mahathir sebelum ini yang menyatakan kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan, Rusmawati berkata, tindakan untuk menarik balik janji di dalam manifesto berkenaan bukan suatu kesalahan.

“Tidak salah untuk tarik balik apa yang tertera di dalam menifesto kerana masih baharu dan masih boleh melakukan perubahan yang lain. Mungkin pada masa mewujudkan menifesto itu tidak mengambil kira analisis kos dan faedah,” katanya.

Hilang sumber pendapatan

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan jika kutipan tol dihapuskan.

“Negara sedang berdepan hutang hampir RM1 trilion. Bagaimana kerajaan dapat tanggung kos ini jika masih dibelenggu dengan liabiliti kerajaan terdahulu,” tegasnya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan ketika ini tidak harus dipersalahkan jika ikrar manifesto mereka tidak mampu dilunaskan.

“PH tidak mengetahui perjanjian yang lebih khusus dan berimpak tinggi kepada kewangan negara oleh kerajaan sebelum ini.

“Namun, cara yang terbaik ketika ini adalah mengurangkan kadar bayaran tol selepas mengambil kira tarikh tamat konsesi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.