Tidak adil untuk waris mangsa

Kaji, teliti implikasi sebelum buat sebarang keputusan

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah, Norzamira Che Noh dan Noor Hidayah Tanzizi

Waris mangsa kes bunuh bantah cadangan kerajaan memansuhkan hukuman mati kerana tidak memberi keadilan kepada keluarga mangsa, kes jenayah berat mungkin meningkat apabila hukuman lebih ringan

PDRM akan mencadangkan hukuman maksimum dalam kes pengedaran dadah jika hukuman mati dimansuhkan Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman

Tidak adil untuk keluarga mangsa jika pesalah terbukti melakukan jenayah itu terlepas hukuman berat yang sepatutnya dikenakan kerana sudah dimansuhkan Anak mangsa kes bunuh, bakar di Jalan Pahang, Tapah

Hukuman mati wajar kepada pesalah kes bunuh kerana ia perlakuan terlampau zalim sekali gus memberi pembelaan kepada mangsa Mat Saad Sarijan, Bapa Norihan Mat Saad yang mati kena tikam di Beruas, Perak

Jika hukuman mati mandatori juga dimansuhkan, apa lagi hukuman sesuai kepada pesalah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini Khai Eng Choon, abang mangsa bunuh tiga beranak di Wakaf Mek Zainab, Kelantan

Tindakan kerajaan mahu memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini, bukan saja mendapat bantahan orang ramai, malah keputusan itu mengecewakan waris keluarga mangsa yang pernah dibunuh.

Mereka berpendapat tindakan itu tidak memberi keadilan kepada waris terbabit apabila pesalah yang terbukti melakukan jenayah seumpama itu tidak dikenakan hukuman berat sewajarnya, malah kes jenayah berat mungkin meningkat kerana penjenayah tidak takut melakukannya akibat hukuman dikenakan semakin ringan.

Di Shah Alam, waris mangsa bunuh, bakar dan abu mayat dibuang dalam sungai dalam kejadian di sebuah bengkel Jalan Pahang, Tapah, tiga tahun lalu tidak bersetuju dengan pemansuhan hukuman mati mandatori itu.

Anak mangsa yang enggan dikenali berkata, tidak adil untuk keluarga mangsa jika pesalah yang terbukti melakukan jenayah itu terlepas hukuman berat yang sepatutnya dikenakan ke atasnya kerana sudah dimansuhkan.

Tindakan tak adil

“Sebagai anak, saya amat kecewa dengan keputusan itu kerana bapa saya dibunuh. Malah, lebih sedih apabila kes bapa ditutup begitu saja kerana dikatakan kurang bukti dan penjenayah berkenaan sudah dibebaskan selepas ditahan selama dua tahun.

“Kami berasakan tindakan tidak mendakwa suspek tidak adil kerana penjenayah bukan saja membunuh seorang, tetapi empat orang. Kami juga mengalami kesukaran dalam beberapa urusan kerana tiada sebarang dokumen pengesahan bapa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan itu, beliau berkata, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Wanita itu berkata, jika pemansuhan itu diteruskan, undang-undang dilihat lebih longgar dan tidak mustahil penjenayah lebih berani melakukan pembunuhan.

Bapa wanita itu yang juga seorang jurujual alat ganti adalah antara empat mangsa bunuh, dibakar dan abu dibuang ke sungai dalam kes pembunuhan ngeri di Tapah, Perak, yang mayat mereka ditemui pada November 2015.

Pada Februari 2016, waris mangsa menyuarakan tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah membebaskan dua suspek selepas direman selama 59 hari, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 2012 (POCA).

Di Kota Bharu, keluarga tiga beranak yang mati ditikam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di stor rumah mereka di Wakaf Mek Zainab tahun lalu, berkata kerajaan sepatutnya meneliti terlebih dulu implikasinya sebelum membuat keputusan.

Adik mangsa, Khai Eng Choon berkata, hukuman mati mandatori juga sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan membunuh abangnya, isterinya dan anak saudara dengan kejam tanpa belas kasihan, kerana kematian mereka bertiga memberi kesan kepada keluarganya.

Cari penyelesaian terbaik

“Jika hukuman mati mandatori juga dimansuhkan, apa lagi hukuman sesuai kepada pesalah yang kejam dan tiada perikemanusiaan ini,” katanya.

Bapa empat anak yang mengambil alih tugas menjaga dua daripada tiga anak saudaranya yang kini yatim piatu itu berharap kerajaan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Dalam kejadian itu, Kha Eng Ni dan isterinya, Chua Joo Seok, serta anak mereka, Kha Zee Hanz, maut ditikam di stor rumah mereka di Taman Bahagia pada 15 November lalu.

Sementara itu di Manjung, keluarga Allahyarham Norehan Mat Saad, 31, yang mati ditikam di kebun betik di Batu 40 Kampung Tengah, Beruas, 12 September lalu, berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.

Bapa mangsa, Mat Saad Sarijan, 70, berkata hukuman mati wajar kepada pesalah kes bunuh kerana ia perlakuan terlampau zalim, sekali gus memberi pembelaan kepada mangsa.

Norehan meninggal dunia pada 18 September lalu, selepas tujuh hari dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, akibat ditikam dalam kejadian samun itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.