Dua maut, 7 cedera nahas treler, kereta di NKVE

Nahas awal pagi di lebuhraya

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Dua maut, manakala tujuh mangsa, termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan, parah dalam kemalangan membabitkan dua treler, lori dan kereta kurang seminggu selepas kemalangan treler meragut lima nyawa, Sabtu lalu.

Kejadian jam 3.50 pagi semalam di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke Plaza Tol Subang, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Rajkumar Mariappan, 23, manakala wanita yang maut belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku akibat sebuah treler membawa muatan beg simen terbabas dan terbalik di lorong tengah dan kanan.

“Kereta Honda Civic dinaiki mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar muatan kenderaan berat itu yang jatuh di atas jalan. Sebuah lagi lori dari arah belakang cuba masuk ke laluan kiri untuk memberi laluan.

“Ketika lori itu mahu memulakan perjalanan, sebuah lori kontena yang datang dari arah sama melanggar bahagian belakang lori. Pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit berpusing dan menghimpit kereta itu.

Tercampak keluar

“Kedua-dua mangsa yang berada di bahagian penumpang tercampak keluar dari kenderaan itu dan disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mohd Zani berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Mayat mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik PPUM untuk bedah siasat. Kami masih mengesan waris dan maklumat berkaitan mangsa yang terbabit.

“Semua pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kemalangan itu menyebabkan aliran trafik di lokasi bergerak perlahan sejauh tiga kilometer ke arah selatan. Trafik ke utara juga perlahan disebabkan pengguna yang memperlahankan kenderaan disebabkan mengelak serpihan beg simen di lorong kanan arah utara.

Sabtu lalu, lima mangsa yang menaiki kereta Kia Forte, rentung dalam kemalangan dengan treler membawa muatan bijih besi berdekatan Terowong Menora di Kuala Kangsar, Perak.

Anggota bomba dan penyelamat membantu mengalihkan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di NKVE, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.