FARAH ANN, 22, AHLI GIMNASTIK

Cosmopolitan (Malaysia) - - COSMO SPECIAL -

Masih muda namun jasanya pada negara memang tidak terhingga. Farah Ann layak digelar atlet A-list Malaysia setelah berjaya membawa pulang kemenangan besar sekali gus perkenalkan kehebatan Malaysia di serata dunia. Baginya, tak mudah untuk sentiasa berasa on top of the game, “Fokus merupakan aspek yang paling penting dalam bidang sukan. Kedua, keinginan untuk capai kejayaan dengan sokongan padu daripada jurulatih dan keluarga. Dengan prinsip ini kejayaan untuk melangkah lebih jauh menjadi mudah untuk dicapai,” katanya.

Mengakui pernah terfikir untuk berputus asa terhadap kariernya, Farah Ann bangkit semula dan buktikan setiap kegagalan itu adalah jalan kepada kejayaan. “Setiap atlet akan lalui kesukaran. Itu lumrah. Saya pernah rasa mahu mengalah semasa mengalami kecederaan di pertandingan antarabangsa. Tapi saya cekalkan hati dan beritahu diri sendiri bahawa saya berada di sini bukan untuk mengalah, kemudian beri ruang pada kehidupan untuk mengurus citacita saya. Saya berlatih dengan bimbingan pakar fisioterapi dan jurulatih, kemudian saya mula bertanding semula. Apa yang saya pelajari adalah setiap kegagalan itu merupakan tangga untuk mencapai kejayaan.”

Setiap bidang sukan mempunyai risiko tersendiri dan gimnastik tidak terkecuali. Sukan ini perlukan fokus yang tajam serta skil sempurna bukan hanya untuk meraih mata dan kemenangan, malah untuk mengelak berlakunya sebarang kecederaan. “Latihan gimnastik biasanya mengambil masa enam ke tujuh jam sehari. Walaupun sudah berlatih dengan sempurna, hakikatnya risiko kecederaan itu masih ada walaupun dengan repetisi latihan dan saya amat gentar apabila terluka. Tapi saya rasa ini perkara biasa yang dihadapi atlet tidak kira apa bidangnya.”

Pada setiap pertandingan antarabangsa, kamu menjulang nama Malaysia dengan meraih kemenangan. Pernahkah kamu terfikir ia seperti satu beban yang harus dipikul? “Malaysia merupakan negara tercinta saya. Tidak pernah sehari pun ia menjadi beban untuk saya. Mewakili Malaysia sentiasa menjadi impian saya, and it will always be the greatest feeling.” Bila kamu gagal, adakah kekecewaan itu lebih kepada diri sendiri ataupun terhadap negara? “Kekecewaan yang saya rasa lebih kepada diri saya sendiri berbanding negara. Tapi saya juga rasakannya terhadap warganegara yang sentiasa menyokong saya. Saya bertuah mempunyai ramai teman dan ahli keluarga yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan karier saya. Mereka sentiasa di sisi di saat sukar, juga di saat gembira.”

Untuk mengukuhkan lagi kariernya, Farah Ann berazam untuk sentiasa bekerja keras agar mencapai tahap tertinggi dalam sukan gimnastik. Walaupun dia telah beraksi di peringkat tertinggi, dia mengakui bahawa masih banyak perkara untuk dipelajari. “Nasihat saya kepada setiap wanita adalah sentiasa percaya pada diri sendiri. Kamu jauh lebih kuat daripada apa yang kamu fikirkan. Beri peluang kepada diri sendiri untuk buktikannya.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.