PEREKA BUSANA ARISTOKRAT

Muzium Sultan Abu Bakar membuka ruang untuk mempamerkan ilham rekaan pereka fesyen terkenal ini, dan rata-rata busana tersebut punya cerita dan sejarah tersendiri.

EH (Malaysia) - - Berita fesyen - BERNARD CHANDRAN:

Kebiasaannya kami di meja editorial menerima jemputan menonton Koleksi Petang Raya atau paling tidak melihat koleksi musim baru di butiknya atau sekadar melihat di Internet sahaja. Menempa nama di kota London, Datuk Bernard Chandran mementaskan setiap himpunan ready-to-wear dalam gaya yang cukup moden, namun ini bukanlah penghalang untuknya terus memperjuangkan serta mengangkat busana yang berunsur kemelayuan. Lebih menarik, setiap busana kontemporarinya direka cukup mewah terutamanya pabila disarung golongan atasan.

“Pada hari ini saya juga mahu memberi inspirasi kepada tukang jahit biasa. Jika mereka melakukan sesuatu dengan baik, kita semua pasti

tampak cantik.”

BUSANA PERKAHWINAN DIRAJA

Sebanyak 23 patung ‘istimewa’ bersarung busana indah dan 16 daripadanya adalah busana perkahwinan keluarga Diraja Brunei. Ya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapat kebenaran meminjam kesemua busana, namun perancangan yang teliti memungkinkan acara ini dilaksanakan cukup sempurna. Dari apa yang dapat dilihat, nyata penghasilan busana-busana ini amat teliti termasuk soal pemilihan perinciannya. Cukup kemas kerana setiap satu masih cantik biarpun ada di antaranya direka pada tahun 90-an. “Ia memerlukan ramai pekerja untuk menyiapkan gaun ini, jadi simpanlah ia seperti barang kemas. Mungkin bukan untuk hari ini, tetapi untuk 50 tahun akan datang, you’ll take it out and say,” pesan Bernard dan ini jelas terbukti menerusi helaiannya yang masih elok disimpan oleh pemiliknya.

Menariknya kesemua busana-busana ini terletak cantik di ruang pameran. Setiap patung yang disarungkan pakaian mewah ini ditempah khas dari Paris mengikut saiz sebenar pemiliknya. Di samping itu, tablet yang menyiarkan sedutan video pengantin diraja yang ditayangkan berulang selama 30 saat memberi gambaran yang lebih jelas tatkala helaian yang bernilai € 50,000 hingga € 150,000 (anggaran RM209,000 hingga RM629,000) ini gayakan.

“Kita punya ramai pereka terbaik di sini. Tetapi kita (warga Malaysia) perlu menyokong kerja seni lokal dan sering saya katakan berikan kebebasan kepada pereka fesyen kita untuk menjadi apa yang mereka mahu, supaya mereka boleh mencari identiti sebenar rekaan mereka. Tahun 1994 dulu, semasa saya mereka baju kebaya menggunakan kain enam meter orang ingat saya kurang siuman dan memberontak. Tapi, pada 1998, semua orang turut menghasilkan pakaian dengan lengan besar dan sebagainya.”

Pameran Busana Perkahwinan ini bermula pada 27 Jun 2013 hingga 27 Februari 2014. Dibuka pada setiap Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad (9 pagi - 5 petang), Jumaat (9 pagi - 5 petang tetapi tutup seketika pada waktu tengahari). Tutup setiap hari Isnin.

Busana perkahwinan rasmi Dayangku Ratna Siti Noraishah (2012) menggunakan fabrik Jong Sarat berserta motif bunga tradisional.

Rekaan kurung moden majlis Ambil Ambilan untuk Pengiran Yura Masraniwaty (2008).

Busana kahwin rasmi Datin Dr. Halina Mohd. Yunos, isteri kepada Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (Angkasawan Negara Pertama).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.