Pelembap! Mengapa Ia Penting Untuk Kulit?

KETAHUI SEJAUH MANA PENTINGNYA PELEMBAP DAN APA KEBAIKANNYA SELAIN MENGHIDRATKAN KULIT.

EH (Malaysia) - - Nota Cantik -

Sudah menjadi satu rutin wajib bagi penjagaan asas kulit, membersih, menyegar yang diakhiri dengan melembap. Tidak kira apa jenis kulit, sama ada normal, kering atau berminyak, tahukah anda langkah yang paling penting adalah melembap. Namun, lambakan rangkaian pelembap di pasaran kadang-kadang menyukarkan kita membuat pilihan. Jika tersilap pilih, kulit akan menjadi 'mangsa' akibat krim digunakan mengandungi bahan terlarang seperti hydroquinone yang boleh mengakibatkan kanser kulit. 1 PENTINGNYA PELEMBAP Ramai membuat pilihan yang salah ketika membeli produk kecantikan terutama pelembap. Tidak kurang juga masih ada yang tidak tahu kepentingan pelembap kepada kulit. Pelembap adalah komponen asas kepada penjagaan kulit setiap hari. Ini kerana lapisan epidermis membentuk perintang yang penting untuk melindungi lapisan kulit di bawahnya. Perintang ini sering terganggu lantas menyebabkan fungsinya terjejas dan mengakibatkan kehilangan air. Oleh itu, pelembap kulit sangat penting untuk menjaga lapisan perintang kulit bagi memastikan kulit kekal berseri. 2 KETAHUI JENIS KULIT Setiap individu perlu kenal jenis kulit masing-masing sebelum menggunakan pelembap. Terdapat pelbagai jenis pelembap

yang dihasilkan khusus buat kulit yang berbeza-beza. Dalam menangani masalah kulit kering, pilih pelembap yang tidak menimbulkan alahan (labelnya bercatat ‘hypoallergenic’ atau ‘allergy tested’). Ini demi memastikan pelembap yang digunakan tidak menyebabkan alahan pada kulit, kebiasaannya kulit kering cenderung kepada kulit sensitif.

Pelembap terbaik selalunya bertekstur ringan tetapi memberi sepenuh lembapan pada kulit. Pelembap yang bertekstur minyak juga agak bagus, diikuti dengan krim dan losen. Kulit jenis normal pula memiliki kandungan minyak semula jadi. Tetapi ia boleh menjadi kering disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cuaca, tekanan dan persekitaran. Andai ini berlaku, anda disarankan memilih pelembap jenis ringan dalam bentuk losen.

Bagi kulit yang berminyak anda tidak diwajibkan menggunakan pelembap kerana kelenjar sebum sudah aktif mengeluarkan minyak. Bagaimanapun, anda boleh menggunakan pelembap yang mengandungi bahan menyerap minyak. Pilihlah yang bertekstur ringan iaitu dalam bentuk losen atau gel dan yang penting berasaskan air.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.