Bergaya Ke Tempat Kerja

TANGKAS DAN RAJIN, ANDA ADALAH PEKERJA YANG BAIK DALAM PEMBANGUNAN SYARIKAT. NAMUN, BAGAIMANA PULA DENGAN PENAMPILAN ANDA YANG SELEKEH ITU?

EH (Malaysia) - - Kerja -

Kebersihan dan gaya kemas ke tempat kerja bukanlah sesuatu yang perlu dalam menilai kebolehan kerja dan peluang untuk naik pangkat. Namun, ia menjadi bonus untuk orang sedap mata memandang serta lebih rasa hormat dan kagum dengan kebolehan anda mengurus diri serta kerja. Nah, etika berpakaian ke tempat kerja untuk anda ikuti!

SESUAI DENGAN JENIS PEKERJAAN

Bergaya ke tempat kerja perlulah selari dengan jenis pekerjaan yang anda lakukan. Sebagai contoh, jika anda bekerja di pejabat kerajaan, baju kurung adalah pilihan paling tepat dek polisi yang mementingkan keseragaman berpakaian. Jika anda bekerja di syarikat swasta, kelonggaran diberikan dan anda bebas untuk memilih gaya asalkan tidak melampau dan menjolok mata.

DRESS TO IMPRESS!

Sentiasa kemas dan bergaya walaupun pada hari Jumaat. Kebiasaannya, hari Jumaat diberi kelonggaran dalam pemilihan pakaian tetapi itu bukan alasan untuk anda memakai seluar denim koyak bagai mat rempit! Sekurang-kurangnya, kurta bagi lelaki dan seluar palazzo untuk wanita adalah pilihan tepat.

JANGAN TERLALU DEDAH

Hormati ruang kerja orang lain dengan memakai pakaian yang tidak terlalu mendedahkan tubuh, singkat atau ketat. Pasti sekurang-kurangnya ada seorang lelaki di tempat kerja anda dan hormati mereka dan juga diri anda sendiri. Dikhuatiri mengganggu tumpuan mereka ketika bekerja. Ia juga bagi mengelakkan masalah gangguan seks di kalangan pekerja wanita.

PAKAIAN DALAM DI LUAR

Entah mengapa ada sesetengah wanita yang terlalu ekstrem dalam berpakaian sanggup mengenakan pakaian dalam sebagai pakaian ke tempat kerja. Mungkin anda boleh sesuaikan singlet bersama jaket atau blazer motif berwarna untuk tampil lebih ‘stailo’. Gaya ke kelab jangan sesekali dibawa ke pejabat, bimbang merosakkan kredibiliti anda.

KESEIMBANGAN

Penting untuk menyeimbangkan corak pemakaian anda. Jika anda menggayakan look polos, padankan bersama rantai dempak atau aksesori yang memberi statement dalam penampilan. Jangan pula menggayakan motif bercorak dari atas sehingga ke bawah, atau multi-rona terang kesemuanya. Pening rakan sekerja melihatnya!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.