APABILA DIDUAKAN...

Cinta yang tersemai antara kalian membunga bahagia, namun entah mengapa tiba-tiba dia beralih arah mencintai yang lain. Di mana silapnya?

EH (Malaysia) - - Anda&dia -

Jangan pernah menyalahkan diri 100 peratus tanpa melihat situasi secara keseluruhan. Bagaimana jika anda telah melakukan sehabis baik, mencintainya sepenuh hati, melayan dia penuh hormat serta menjaga kehormatannya sebagai pasangan namun dia masih mendamba cinta daripada wanita lain?

“Aku kecewa”

Sesiapa juga, tidak kira lelaki mahupun wanita apabila sudah terlalu cintakan pasangan dan kemudian diduakan sememangnya mengundang rasa kecewa yang amat dalam. Tuhan telah merencanakan perkahwinan adalah suatu pengalaman yang indah. Namun, manusia kadang alpa dengan nikmat itu lantas melupakan perkara gembira dan beralasan masalah yang menyebabkan mereka selingkuh.

Apa yang perlu dilakukan?

Sesiapa juga, tidak kira lelaki mahupun wanita apabila sudah terlalu cinta akan pasangan dan kemudian diduakan sememangnya mengundang rasa kecewa yang amat dalam. Jangan cepat melatah. Lakukan ini agar kecewa itu tidak jadi parah.

TENANG, JANGAN MELENTING Ya, bukan mudah. Sebaik mengetahui pasangan anda mempunyai yang lain, kuatkan iman dan jangan melenting, membebel serta menengking dia walaupun sememangnya itu yang mahu anda lakukan. Jika anak-anak ada di situ, berbincanglah di tempat lain agar tidak mengganggu emosi mereka. Jangan membuatkan mereka membenci pasangan anda kerana menduakan ibu mereka. Jika boleh, duduk. Berdiri ketika marah boleh menyebabkan rasa itu semakin meluap.

BERTANYA Suakan soalan mengapa mereka melakukan ini semua kepada anda yang setia menyayanginya. Dengar dan faham. Ketahui alasannya agar anda tahu apa yang tersirat di hatinya selama ini. JANGAN SALAHKAN DIRI SENDIRI Ada wanita yang terlalu rendah diri lalu menyalahkan keupayaan sendiri. Mereka beranggapan diri tidak cukup baik, tidak cukup cantik, tidak itu dan tidak ini. Hentikannya! Dia yang mencari lain, bukan anda. Tidak kurang pula golongan wanita yang beranggapan diri sendiri sahaja betul dan menyalahkan pasangan 100 peratus. Ini melibatkan dua hala, lalu anggaplah anda berdua salah dalam perkara ini. Itu membolehkan anda mula berfikir secara logik. KEPUTUSAN JANGAN IKUT EMOSI Wanita mana yang sanggup berkongsi kasih? Tetapi, itu bukan alasan anda untuk berpisah sewenang-wenangnya. Jika kalian mempunyai cahaya mata, timbang tara mengenai kebajikan anak-anak. Bincang perkara ini sedalamnya. Dan jika pun anda benar tidak sanggup hidup bermadu, lepaskanlah pasangan anda dan jangan ‘mengikat’ hatinya di sisi anda. Cinta itu tidak boleh dipaksa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.