Baling Batu Sembunyi Tangan

BAIK PERILAKUNYA, AYU PARAS RUPANYA. TAPI HATI BUSUK MACAM BANGKAI!

EH (Malaysia) - - Kisah Benar - kisah benar

Aku tidak pernah suka jadi penyibuk. Dalam perihal kerja, aku mempunyai prinsip sendiri dengan tidak mencampuradukkan perihal peribadi dan kerja. Justeru, jarang sekali aku ingin menjaja cerita manusia dan lebih senang dengan dunia sendiri.

Tetapi, apabila perihal buruk melibatkan nama baik aku dan kesejahteraan teman baik, aku jadi marah.

Rahman adalah teman baik yang aku kenali sejak zaman kolej dahulu. Peribadinya aku kira mulia kerana melalui dia, aku mula mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa. Solat terjaga, ilmu agama diperkukuh dan jalinan persahabatan yang terjalin antara kami menjadikan aku senang dengannya. Dengan kehidupan sebagai pelajar kolej yang kekurangan sumber kewangan, dia membantu sedaya mampu sementelah keluarganya sedikit berada.

Selesai pengajian diploma, aku membawa haluan dengan mula bekerja dan menidakkan kehendak yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah seperti Rahman dan kawan-kawan yang lain. Jujur aku tidak mampu untuk menampung kos belajar di kolej swasta yang mahal. Adik-adik perlukan wang untuk belajar dan aku tidak mahu lagi membebankan emak yang membanting tulang mencari nafkah untuk kami.

Pejam celik, perjalanan empat tahun yang aku lalui dalam bidang multimedia menjadikan aku orang yang luas pengalaman. Tidak semestinya tanpa ijazah, manusia tidak boleh berjaya dalam apa yang dilakukannya. Semua bergantung pada usaha, keinginan dan tawakal pada Tuhan. Sementara itu, persahabatan aku dan Rahman masih seperti dahulu. Dan usai pembelajaran ijazahnya, dia sibuk mencari pekerjaan namun masih tiada syarikat yang ingin menggajikannya. Keluhan dia membuatkan aku sedih. Aku nekad membantu, lalu aku suakan resume kepada pengurus besar. Syukur, dia diterima masuk atas cadangan aku dan gembira kerana kami dapat bekerja bersama seperti dahulu.

Sedangkan pantai boleh berubah, apatah lagi manusia. Begitulah Rahman. Dari segi iman dan takwanya pada Tuhan, ya, dia masih seperti dahulu. Namun, dari segi moral dan erti persahabatan, aku mula hilang rasa hormat. Aku dapat rasakan yang dia tidak pernah suka aku lebih hebat darinya. Ada sahaja yang tidak kena dengan rekaan, idea atau apa saja berkaitan kerja yang akan Rahman

komen jika ia berkaitan denganku. Tidak mengapalah, semua manusia punya pendapat masing-masing. Tapi, pilu hati aku apabila ada mulut yang menyampaikan bahawa Rahman mengutuk hasil kerja serta sikap aku yang kadang suka menyendiri berbanding menyertai aktiviti lepak dan gosip mereka di tempat kerja. Sesekali tidak salah, namun jika setiap hari perlu mengikut jadual mereka, memang aku tidak sanggup. Mereka tidak mempunyai kehidupan yang aku lalui. Setiap hari pulang kerja, aku membuat kerja sampingan untuk menampung hidup dan membantu keluarga di kampung. Jadi, tidak patut untuk mereka mengatakan aku sombong kerana setiap manusia punya rencana hidup yang berbeza.

Aku tidak pernah jengkel dengan sisi baru Rahman yang aku baru kenali ini. Setiap manusia, termasuk aku punya sikap buruk sebagai manusia biasa. Namun, satu yang aku tidak suka bilamana dia mula rapat dengan Azwa, gadis bertudung litup yang punya suara selembut kapas dan wajah senaif gadis desa. Bukan aku cemburu, tetapi ketahuilah Rahman adalah tunangan orang. Aku kenal Saadiah, gadis yang menjadi cinta hati Rahman selama ini. Aku tahu bagaimana mereka bertemu, jalan cerita cinta mereka dan sikap baik Saadiah.

Lebih menyakitkan hati aku apabila setiap hari perlu berdepan dengan drama romantis mereka berdua sementelah kami bertiga berkongsi bilik kerja yang sama. Azwa sering bercerita sedih mengenai bekas kekasihnya yang asyik datang mengganggu. Rahman pula menjadi pendengar setia dan hubungan berlanjutan menjadi mesra. Ke sana sini mereka sentiasa berjalan berdua sehinggakan menimbul syak pada pekerja lain. Ada yang kadang menyindir keras mengingatkan Azwa yang Rahman sudah bertunang, lalu disambut dengan cebikan dan jelingan marah Azwa.

“Bukankah Rahman sudah bertunang, mengapa mahu dekati dia?” Bertanya salah seorang pekerja kepada Azwa.

“Sebab aku cintakan dia. Satu-satunya lelaki yang membuatkan aku rasa bahagia. Aku sanggup tunggu, sama ada aku jadi yang kedua atau dia berpisah dengan tunangnya. Jika pun sudah kahwin, aku akan tunggu dia bercerai,” jawab Azwa dengan wajah tanpa ada rasa bersalah.

Nauzubillah. Bukankah Saadiah itu juga kaum Hawa yang punya rasa dan jiwa wanita seperti Azwa? Mengapa perlu melukakan hati wanita lain sedangkan dia juga adalah seorang wanita? Aku terpinga mendengar pengakuannya. Tidak ada rasa malu, dia terus menerus memikat hati Rahman dengan membawa bekalan dan bergurau manja. Sakit, makan dan pakai Rahman dijaga baik agar lelaki itu gembira senantiasa. Aku tidak suka bilamana perangai buruk dia ini menjatuhkan maruah seorang wanita yang berhijab. Beriya benar dia bercakap mengenai kehebatan Islam dan marahkan orang lain yang tidak bersolat. Perlu diingati, selarikanlah moral dan ilmu agama yang ada. Banyak lagi lelaki lain yang belum berpunya, mengapa perlu juga merebut hak orang? Azwa juga nekad ingin berjumpa Saadiah konon untuk meluahkan rasa cintanya pada Rahman dengan harapan mereka membatalkan pertunangan agar hubungan dia dan Rahman dapat diteruskan ke peringkat seterusnya. Obsesi Azwa ini juga terlihat jelas di mana sanggup dia melawan katakata ibunya yang melarang dia berhubungan dengan Rahman. Maklum benar dengan status Rahman, namun ibunya ditempelak kuat tanda protes, “Tanpa restu mak pun Awa boleh kahwin dengan dia!”

Suatu hari, Rahman mendekati aku. Hanya kami berdua di dalam kamar pejabat dan wajahnya sugul. Dia tahu rakan sepejabat memandang serong hubungannya dengan Azwa baru-baru ini. Sedih hati aku bilamana Rahman mengakui yang dia kini mula ada perasaan pada Azwa. Manakan tidak, ke mana jua mereka pergi berdua bagai belangkas. Hati dan masa sunyi Rahman dirawat dengan kehadiran dan sifat manja Azwa dek Saadiah yang berada jauh di Bumi Kenyalang. Saadiah dan keluarga Rahman menetap di sana sekali gus menjadikan

“AKU SANGGUP TUNGGU, SAMA ADA AKU JADI YANG KEDUA ATAU DIA BERPISAH DENGAN TUNANGNYA. JIKA PUN SUDAH KAHWIN, AKU AKAN TUNGGU DIA BERCERAI”

jarak jauh antara dia dan tunangnya itu sebagai alasan untuk rasa cinta yang semakin berkurang.

Hati manusia, bila sunyi lantas mudah terpedaya dan jatuh kasih pada sesiapa menghampiri. Begitu juga syaitan, apabila hati kita sunyi daripada bacaan ayat AlQuran dan ingatan kepada Tuhan, maka ketika itulah dia hadir menghasut, membelai dan menjanjikan kata-kata manis agar kita sesat daripada laluan hidup sepatutnya. Apatah lagi jika jalan yang sesat itu lebih indah dan membahagiakan.

Lagi dua minggu majlis perkahwinan Rahman dan Saadiah bakal berlangsung, namun tiada tanda-tanda untuk Azwa berundur dari memenangi hati Rahman. Sudah puas disindir dan dinasihati, namun wanita itu kekal di situ. Aku rasakan bukan Azwa sahaja yang bersalah dalam hal ini, bahkan Rahman juga sama naik. Kenapa perlu membalas kehendak wanita terdesak itu walhal sudah maklum diri sendiri sudah berpunya? Ketahuilah, wanita mudah jatuh cinta bilamana ada lelaki yang sentiasa membantu, baik pada dirinya dan mendengar segala masalah yang ada.

Rupa-rupanya perbincangan aku dan Rahman tempoh hari tidak berakhir di situ. Azwa dengan penuh amarah menengking aku di khalayak ramai kerana masuk campur dalam urusannya. Habis segala imej gadis baik yang dibawanya selama ini musnah. Tidak cukup dengan itu, diburukkan diri aku di hadapan rakan sekerja lain mengatakan yang aku ini cemburu. Sedih, kerana yang menjadi dalang adalah Rahman bilamana dia mengadu pada Azwa yang aku cuba menasihatinya agar berhenti daripada memberi peluang kepada gadis itu. Sedikit pun aku tidak terguris dengan kata-kata nista Azwa, tetapi terluka hati aku kerana Rahman yang sudah lapan tahun aku kenali sanggup menikam belakang rakan hanya kerana seorang wanita. Aku juga tidak faham bilamana seorang lelaki yang ilmu agamanya agak kukuh sanggup berbuat begitu, sudahlah menghancurkan hati wanita lain, hati kawan sendiri juga sanggup diliukai.

Aku angguk faham dengan cacian Azwa, dan menepuk perlahan bahu Rahman. Aku berbisik di telinganya, “Terima kasih atas persahabatan ini dan aku doakan yang terbaik dalam apa juga yang kau lakukan kelak. Bila susah nanti, jangan cari aku.”

Aku berlalu pergi dengan hati yang bungkam dan sebal. Terima kasih, kawan!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.