HALA ‘POP’ KITA

Muzik Melayu tahun ini berjalan perlahan. Entah di mana silapnya kita terikat dengan idea serupa.

EH (Malaysia) - - Selebriti -

Sebahagian daripada tahun 2013 telah kita lalui. Bakat baru yang berkualiti semakin kurang atau mungkin tidak salah jika saya sebut hampir tiada. Semuanya datang dalam pakej trend yang mengikut formula serupa. Najwa Latiff beri sedikit kejutan dalam pop culture tempatan apabila mencuri tumpuan sebagai bakat YouTube yang hangat sekitar fasa 2010/11 dengan hitnya Cinta Muka Buku. Menjelang tahun kemudiannya, Ainan Tasneem muncul dengan trak 150 Juta. Ideanya sama, muziknya serupa dan buat penggemar muzik pop tempatan bertanya – Apa yang cuba dia buktikan? Dan inikah pelapis yang kita mahu ketengahkan?

Saya jarang mendengar radio kebelakangan ini dan kerana mahu menulis artikel ini saya membelek carta hit radio tempatan melihat apa yang sedang hangat. Sehingga artikel ini ditulis masih lagi saya melihat nama Hafiz (Bahagiamu Deritaku), Stacy (Bosan), Hazama (Relakan Jiwa) dan ya, Ainan Tasneem dengan 150 Juta berada di carta teratas. Nama Judika, Firman dan Cakra Khan dari seberang juga antara yang teratas. Saya membuat konklusi bahawa selera muzik pendengar tempatan nyata tidak berubah atau orang radio kita yang masih berada di takuk yang lama.

Bukanlah menidakkan kehebatan melodi Datuk M.Nasir buat lagu Angin Syurga (Misha Omar) atau menafikan betapa terbuainya saya mendengar alunan Dayang dalam trak Bisikan Rinduku, tetapi sejujurnya dua bakat ini mampu memberi sesuatu yang lebih genuine daripada dua trak tersebut. Dan bercakap tentang vokalis wanita yang hebat, ada lagi pelapis selepas Jac, Dayang dan Misha? Saya jenuh menjengah laman YouTube nampaknya tiada lagi pelapis power vocal setakat ini.

Namun di sebalik semua itu dapat kita lihat arus muzik hip-hop tidak pernah haus dalam memberi variasi buat penggemar muzik tempatan. Dan apa yang membanggakan setiap satu daripada mereka ini hadir dengan entiti muzik yang cukup ramuan internasional tanpa meminggirkan jati diri sebagai anak Malaysia. Saya bangga menyebut nama Altimet, W.A.R.I.S, Salam Musik, dan Kayda (yang juga anak kepada legenda muzik, Datuk Sheila Majid) sebagai pelapis muzik hip-hop yang dibangkitkan semangatnya oleh Too Phat sekitar hujung 90-an.

Yuna, Zee Avi, Shila…

Lupakan seketika Datuk Siti Nurhaliza kerana dia berada di legasi lain (tersendiri). Kita harus lebih lega dan beri lebih tumpuan pada Yuna, Zee Avi dan Shila Amzah. Ketiga-tiga bakat ini punya satu persamaan dalam membuktikan bahawa mereka tidak perlu terikat dengan ‘demand’ muzik tempatan yang mendatar dan keluar menjual bakat yang mereka ada. Saya tahu mainstream haters gonna hate Shila dengan drama cintanya sebelum ini tapi percayalah orang di China tidak akan menyunting bakat luar dengan kontrak jutaan ringgit jika mereka tidak berbakat dan tugas kita sebagai pendengar, pemerhati muzik adalah untuk terus menyokong baik Shila, Yuna juga Zee Avi.

Hujan

Shila Amzah

Hafiz masih mengungguli carta muzik tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.