Langkah Perkembangan Bonia

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

S.S. Chiang selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bonia adalah orang yang bertanggungjawab mengasas serta menentukan hala tuju Bonia. Tahun 1974, dia memulakan perniagaan rekaan, pembuatan dan pemborongan barangan kulit di Singapura. Kunjungannya ke Itali tiga tahun kemudian, yakni sewaktu menjalani lawatan dagangan Leather Trade Fair di Bolongna memberikan titik permulaan penjenamaannya. Tertarik dengan penghasilan seni yang dihasilkan oleh Giambologna, pengacara popular pada kurun ke-16 secara tidak langsung memberi ilham pada penggunaan nama Bonia.

Jenama ini mula diperkenalkan di Malaysia pada 1978. Walau bagaimanapun, butik pertamanya bermula di Singapura iaitu pada 1981. Dengan strategi pemasaran dan pengiklanan yang agresif bermula 1980, kemudiannya meyakinkan mereka untuk membuka butik pertama di Malaysia pada 1988. Dua tahun kemudian, Bonia berjaya memasuki pasaran Indonesia, Hong Kong, Brunei dan Taiwan. Bagi memperkayakan barangan serta memberi gaya yang lebih meluas untuk penggemarnya, pada 1992 Bonia Uomo iaitu rangkaian pakaian lelaki, jam tangan dan kaca mata mula diperkenalkan. Ini membuatkan Bonia tersenarai di papan kedua Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE), Malaysia pada 23 Ogos 1994.

Setiap barangan Bonia mempunyai pencintanya tersendiri namun penggayaannya tidak terhad dan sentiasa relevan dengan apa jua acara serta musim. Lantas menjayakan Bonia memasuki pasaran Vietnam dan Jepun pada 2000. Empayar Bonia turut diperkuatkan dengan kolaborasi pereka Itali, dengan menghasilkan rekaan yang lebih bermutu pada 2002.

Tahun berikutnya, Bonia dipasarkan di Thailand dan kemudian butik pertama bergelar Bonia Natural yakni untuk sasaran produk kulit yang berasaskan ekologi dan mesra alam dibuka pada 8 September 2004 di pusat beli belah Suria KLCC. Bonia terus melakar sejarah dengan memasuki pasaran Arab Saudi pada 2005 kemudian tersenarai di papan utama Bursa Malaysia pada 23 April 2007. Bonia turut melebarkan sayapnya dengan melancarkan pewangi semburan Bonia Pour Homme dan Pour Femme pada April 2011.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.