KEMUDAHAN MENARIK

EH (Malaysia) - - Santai Kota -

Prince Hotel and Residence Kuala Lumpur adalah penginapan hotel bertaraf lima bintang dan diyakini kehebatannya melalui kanta mata anak tempatan mahupun luar negara. Hotel ini terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur dan dikelilingi dengan lokasi membeli-belah terkemuka seperti Pavilion, KLCC serta kawasan segi tiga emas iaitu Bukit Bintang. Selain itu, lokasinya berdekatan dengan jambatan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan KLCC dengan Menara Berkembar Petronas.

RUANG SELESA

Hotel 29 tingkat ini mempunyai 445 bilik tetamu yang berdekorasi moden serta selesa. Daripada jumlah itu, 300 daripadanya mempunyai pemandangan kota Kuala Lumpur dan KLCC yang menarik perhatian. Bilik air dengan dekorasi lantai marmar sememangnya bercirikan kemewahan. Bagi mereka yang lebih gemar untuk tinggal di ruang seperti berada di rumah, apartmen adalah pilihan tepat. Dilengkapi dengan dapur, sememangnya ia sesuai untuk tetamu yang ingin menetap dalam jangka masa lama.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan sepanjang penginapan anda di Prince Hotel and Residence Kuala Lumpur. Di tingkat 10 terletaknya kemudahan riadah yang menyeronokkan. Kolam renang untuk pengunjung dewasa mahupun kanak-kanak dikelilingi dengan taman tropika buatan manusia yang memberikan ketenangan. Ada juga spa, gimnasium serta Terrace Poolside Bar & Grill yang membolehkan pengunjung menikmati snek enak dan minuman ringan yang menyegarkan.

Perbincangan perniagaan juga pasti berjalan lancar dengan perkhidmatan disediakan di mana terdapat Grand Prince Ballroom dan Prince Ballroom yang dikelilingi dengan sembilan ruang majlis persendirian. Ia boleh memuatkan sehingga 1500 orang dalam satu masa.

Selain itu, tempat penginapan ini turut menyediakan pelbagai pilihan makanan di restoran-restoran yang menyajikan makanan halal dan enak. Jika ingin menikmati hidangan Cina, Tai Zi Hee ada untuk memenuhi selera anda. Ada juga Restoran Enju yang khusus dalam penyediaan makanan Jepun. Bagi yang berkeluarga, apa kata bawa mereka menikmati hidangan ala carte dan bufet di Eccucino yang menyediakan pelbagai resipi istimewa.

Bagi mereka yang memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian mahupun bekerja, tidak dinafikan Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur ada segalanya yang anda perlukan. Pihak hotel pasti menyambut anda dengan tangan terbuka serta layanan mesra.

Hidangan Cina di Restoran Tai Zi Heen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.