Pengenalan Timberland®

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

eringat sewaktu sesi penggambaran Yang Anggun & Disenangi bulan lalu, kami sarungkan Beto Kusyairi, Qi Razali, Aiman Hakim dan Arja Lee dengan kasut Timberland dari berlainan jenis rekaan. Kami padankan pula dengan baju gaya berbeza, Beto ala grunge, Qi bersentuhan preppy, Aiman sedikit maskulin dan Arja Lee lebih relaks iaitu baju-T kuning berbalas celana biru terang. Kesemuanya tampak sempurna dan menonjolkan stail tersendiri. Juga, sepanjang mengelola kolum ‘Gaya Jalanan’, peratusan pemakai kasut but Timberland antara yang tinggi terutamanya ketika menghadiri festival seperti Urbanscape, Future Music Asia dan flea market. Kebanyakan mereka hanya mengenakan helaian asas kerana percaya kasut but ini punya magis yang sangat kuat dalam membangkitkan mood penampilan mereka. Sekitar 1918, Nathan Swartz memulakan karier sebagai penjahit kasut di Boston, Massachusetts. Kemudian, pada 1952 Swartz membeli separuh daripada saham The Abington, iaitu syarikat yang memegang kerja kontrak untuk kilang-kilang kasut. Setelah membeli keseluruhan syarikat itu, tiga tahun kemudiannya, dia membawa anaknya bersama-sama mengendalikan syarikat tersebut. Penghasilan kasut-kasut Swartz waktu itu sudah disuntik dengan teknologi baru pabila syarikatnya memperkenalkan inovasi teknologi injection–moulding. Ini membolehkan setiap but kalis air serta boleh digayakan dalam suhu sejuk dan musim tropika sementelah pelapik dan tapak atas kasut juga disatukan tanpa sebarang jahitan.

Dari Boston, Swartz berpindah ke New Hampshire pada 1969. Melihat kejayaan but kuning kalis air yang juga dikenali sebagai Timberland, syarikat kasut ini mengumumkan Timberland® sebagai jenama rasmi mereka berkuat kuasa 1973. Berikutan cuaca di Hampshire ada kalanya sejuk, panas dan basah membuatkan penggunaan dan permintaan but sangat tinggi. Oleh itu, pengenalan but kulit kuning yang sesuai dengan semua iklim menjadikan jenama ini sangat popular. Dahulu, ia diuji dengan meninggalkan kasut semalaman di dalam air bagi memastikan ia benar-benar tahan. Tetapi kini, kasut ini diuji dengan dibiarkan di dalam air untuk empat jam sementara bahan kulit dilenturkan beribu kali supaya ia dijamin kalis air.

Yellow Boot

But kuning ini tampak keras dan tebal, tetapi cukup selesa pabila disarung. Sejak pengenalannya ia dijahit dengan dua barisan jahitan tetapi lama-kelamaan teknologi jahitan berubah kepada empat baris supaya lebih tetal dan bahagian yang dicantum tidak mudah terpisah. Menonton video penghasilan kasut Timberland® di Youtube, keseluruhannya adalah buatan tangan. Walaupun menggunakan mesin khas, tetapi pengawalan tangan yang mahir menyempurnakan sepasang kasut dari proses awal hingga proses pembungkusan. Oleh itu kasut Timberland® biasanya boleh digunakan untuk jangka waktu yang sangat lama.

Rekaan Timberland® Anda

Bagi membangkit keseronokan menyarung kasut kulit jenama ini, anda juga diberi kuasa untuk mereka kasut rekaan sendiri. Timberland® menyediakan 14 warna kulit untuk bahagian atas, kolar, jahitan, pelapik tengah dan perincian untuk anda pilih malah anda boleh menempah logo Timberland dan mengabadikan initial anda sendiri dengan barisan empat huruf berlainan. Rekaan kasut boleh ditempah mengikut contoh yang disediakan, kemudian ia akan dihantar ke kilang pembuatan tangan di Dominican Republic Factory di Santiago dalam masa lapan minggu. Tempahan boleh dibuat dengan mengunjungi butik jenama ini di pusat beli-belah antaranya di Mid Valley Megamall. Suria KLCC, Lot 10, dan Bandar Utama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.