IMPIAN,CITA-CITA IMPIAN,CITA-CITA & HARAPAN

Tahun baru datang lagi. Resolusi terus dicipta dan moga beriring usaha, jaya tercipta.

EH (Malaysia) - - Etika -

Glen Hoplins menulis “Your dream is what you are” jika kecil impian anda, kecil jugalah peluang dan harapan untuk anda mencapai apa yang diimpikan. Hoplins turut menulis jangan takut untuk mencuba dan jangan sesekali takut untuk menghadapi kegagalan. Ada rahsia tersendiri di sebalik kegagalan iaitu pelajaran. Saban tahun kita memulakan tahun baru dengan harapan baru dan impian baru untuk melihat kehidupan yang dilalui menjadi lebih baik dari hari ke hari. Namun ada harga yang perlu anda bayar untuk mencapai kejayaan – pengorbanan.

IMPIAN

Sebetulnya ia wujud kerana adanya keinginan memiliki sesuatu. Sama ada ia mempunyai sifat yang boleh dilihat atau sebaliknya, yakni perasaan kasih sayang. Impian menurut Ilana Simons dalam artikel yang ditulis untuk Psychology Today menulis impian adalah sesuatu yang abstrak seperti lukisan atau puisi. Ia bermula dengan imaginasi dan untuk menjadikannya realiti anda harus bijak dalam percaturan.

“Tiada penyesalan dalam hidup, semuanya adalah pelajaran.” – JENNIFER ANISTON

PERLUKAH SEMUA APA YANG ANDA IMPIKAN MENJADI KENYATAAN?

Tidak. Tidak semuanya tentang apa yang anda mampu capai tetapi lebih kepada apa yang anda usahakan. Kerana di sebalik semua itu janjinya adalah pelajaran hidup. Harus diingat jika anda gagal dalam percaturan setidaknya anda tahu anda telah berusaha ke arah itu. David K. Williams dalam memoirnya – The Single Greatest Secret of Leadership: ‘Fail Up’ menulis, “Saya seorang yang sering gagal dalam percaturan hidup. Namun itu bukan alasan atau batasan kerana ia lebih kepada peluang menjadi manusia yang lebih bijak memilih jalan hidup yang lebih baik dan membuat saya lebih berhati-hati.”

Siapa tidak mengenal Oprah Winfrey. Kejayaannya menjadi ikon Black American Woman seluruh dunia dikagumi. Namun siapa tahu siapa dia sebelum program bual bicara dan segala kerja amalnya menjadi ikutan ramai? Zaman kecilnya pahit. Dia adalah mangsa penderaan seksual. Pada usia 14 tahun dia melarikan diri dari rumah dan menjadi mangsa dadah awal usia 20-an. Dia hampir putus asa untuk hidup namun takdir hidupnya berubah. Bukan kerana tuah tetapi kerana kerja kerasnya. Oprah bangkit sehingga menjadi wanita kulit hitam pertama di Amerika Syarikat yang memiliki program TV sendiri dan hari ini menjadi ikon yang cukup berpengaruh.

Tujuan saya berkongsi cerita tentang Oprah adalah untuk anda tahu untuk berjaya tiada jalan singkat. Kita semua punya azam yang mahu dicapai tetapi kita cepat kalah, pantas mengalah. Semangat kita mudah patah saat ada rintangan datang. Kita jarang belajar dari kesilapan dan kemudian kita menganggap kita gagal secara keseluruhan tetapi kita lupa melihat kemanisan di balik kegagalan tersebut.

KENAPA GAGAL?

ALASAN Terlalu banyak alasan yang membataskan anda daripada berjaya mencapai misi yang ingin dicapai. Dek kerana takut mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan kita berhenti daripada mengejar mimpi yang ada. Lantas mencipta keraguan – kalau aku gagal bagaimana? Atau bolehkah aku lakukan benda ini? Keraguan ini menurut David DiSalvo dalam artikelnya untuk Forbes Online sebagai ketakutan untuk mencuba dan banyak orang gagal sebelum memulakan misi yang mereka ingin capai. PENGARUH Tidak salah meminta pendapat daripada teman atau sesiapa saja tetapi anda harus bijak dalam penilaian. Di akhir cerita empunya impian adalah diri anda bukan orang sekeliling. Ingat pendapat orang luar penting untuk anda membuka minda bagi melihat idea yang lebih jelas akan apa yang anda impikan. Jangan sehingga pendapatpendapat orang luar mempengaruhi keputusan anda sepenuhnya. TAKUT Daripada wujudnya rasa takutlah sebenarnya menciptakan alasan yang pelbagai. Anda takut jika anda lakukan sesuatu hal akan mengganggu perasaan orang lain atau akan mengubah hidup anda secara total. Bila wujudnya perasaan ini maknanya anda masih belum bersedia menggapai impian juga cita-cita. David DiSilvo menulis dalam artikel 10 Things Why We Fail, “Jangan sesekali membuatkan ketakutan yang ada dalam diri membunuh semua impian yang anda tanam.” Beranikan diri mengambil risiko dan usah berpatah balik.

HARAPAN

Selagi anda mahu selagi itu ada harapan. Bila gagal pada percubaan pertama tidak bermaksud anda harus terus melupakan hasrat yang ada.

“Hidup sebetulnya satu kembara yang cukup indah. Di hujung cerita segala keperitan yang anda lalui akan menjadi kekuatan untuk anda meneruskan perjalanan.”

– DREW BARRYMORE

Ambil masa untuk berehat seketika dan berfikir dengan logik akal. Belajar daripada kesilapan yang dilakukan dan carilah ikhtiar lain bagi menyempurnakan impian tadi. Pada masa sama fokus pada apa yang ada sekarang. Takut yang dikendong berciciran yang kejar tak dapat pula nanti. Semua pernah gagal dalam hidup kerana kesilapan yang dilakukan tetapi kita boleh bangkit dengan adanya harapan yang dicipta daripada kemahuan tinggi. Lihat saja bintang ternama dunia – Jennifer Aniston pernah gagal dalam perkahwinan, perubahan hidup Britney Spears dan Kate Moss yang berjuang dengan masalah dadahnya. Namun mereka semua bangkit kembali dengan adanya kemahuan untuk kembali ke jalan yang mereka inginkan. Ingatlah Mark Zuckerberg tidak memiliki kekayaan sehingga AS$ 19 billion dalam masa setahun dua. Tanpa keazaman dan keinginan yang tinggi tidak seorang daripada kita mampu mencapai apa yang dihajati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.