BERMULA SEGAR

Tahun silih berganti menandakan pertambahan usia. Tinggalkan kenangan 2013 dan mulakan titik baru dalam hidup. Ketahui apa yang mendatang

EH (Malaysia) - - Horoskop -

ARIES 2014 bakal mencatat kenangan manis dalam karier dan juga kehidupan sosial anda. Bagi mereka yang sudah terlalu selesa dengan posisi kerja sekarang dan mula berasa bosan, apa kata cuba jengah peluang baru di luar sana. Berlainan pula dengan perhubungan anda dengan pasangan. Komitmen kerja membuatkan anda alpa dan tiada masa untuk mereka. Seimbangkan kehidupan agar berjaya mengecapi bahagia.

TAURUS Tahun ini menyaksikan perubahan diri dari segi personaliti mahupun puncak kerjaya. Anda ingin jadi individu yang lebih baik, termasuk dalam perhubungan cinta. Sikap yang lebih positif mendorong orang lain untuk senang mendekati anda, sekaligus menjadikan anda orang yang dipercayai dalam melakukan sesuatu tugasan.

GEMINI Berbanding tahun-tahun sebelumnya, kehidupan anda lebih tenang tahun ini. Sama ada di rumah mahupun tempat kerja, keselesaan itu membantu anda untuk mempamerkan prestasi kerja dan kebahagiaan dalam perhubungan yang lebih memberangsangkan. Namun, masalah daripada tahun-tahun sebelumnya dikhuatiri mengganggu apa yang anda miliki kini. Selesaikan masalah berbangkit tersebut sebelum ia merosakkan kehidupan baru anda.

CANCER Anda lebih mengutamakan kehidupan peribadi berbanding kerjaya untuk tahun ini. Mungkin anda baru tersedar mengenai kepentingan hubungan sosial dalam mempengaruhi prestasi kerja. Seiring peningkatan usia, anda lebih mengutamakan skil mendengar berbanding bercakap. Kerjaya anda juga mendapat sokongan yang baik daripada keluarga mahupun rakan sekerja.

LEO Kegigihan anda berusaha untuk mencapai cita-cita membuahkan hasil. Tahun ini bakal menyaksikan anda mencatat kejayaan dalam perancangan yang dibuat sejak beberapa tahun lepas. Namun jangan cepat berpuas hati kerana sesuatu kejayaan itu perlu dikekalkan dengan usaha berterusan. Hubungan cinta pula tidak menentu, ada pasang surutnya. Bertabahlah.

VIRGO Tenaga dan semangat yang tinggi menyumbang kepada kejayaan yang bakal anda miliki. Namun, ada juga beberapa masalah yang mengganggu perjalanan kerjaya. Usah khuatir kerana itu lumrah kehidupan. Sifat artistik anda juga mula terserlah. Bagi mereka yang baru menjalin cinta, jangan terburu-buru untuk terlalu serius dengannya. Kenal hati budi dahulu dan nikmati masa bersama.

LIBRA Diakui, tahun 2013 memberi impak negatif dalam kehidupan anda dek kerana tersekat dengan pendapatan yang hanya cukup-cukup makan. Tahun 2014 pula memberi kebebasan baru kerana keyakinan anda untuk lebih maju dalam kerjaya. Anda juga memilih untuk melupakan dan memaafkan dalam perhubungan cinta.

SCORPIO Bakal berdepan dengan pelbagai kejutan sepanjang tahun 2014. Bersedia dengan perubahan-perubahan yang bakal berlaku dari segi mental atau fizikal. Jadikan perubahan itu sebagai titik untuk anda mulakan pembaharuan dalam hidup. Jangan biarkan kisah lama diungkit kembali sekaligus menyekat keyakinan anda dalam membentuk hidup yang lebih baik.

SAGITTARIUS Kisah cinta lama yang memeritkan usah dikenang. Walau emosi terganggu, jangan jadikan ia alasan untuk mencari orang lain sebagai ganti. Apa kata anda fokus kepada impian dalam kerjaya yang diburu selama ini. Peluang anda cerah untuk berjaya asalkan anda meletakkan kebolehan dan keinginan untuk berjaya melebihi perasaan cinta.

CAPRICORN Setelah bekerja bertungkus lumus sepanjang tahun lalu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rehat yang mencukupi bagi berjuang pula di tahun 2014. Perbaiki hubungan yang bermasalah bersama keluarga terdekat. Tanpa disedari, sokongan mereka sebenarnya yang menggerakkan kejayaan anda.

AQUARIUS Anda mencapai kejayaan yang cemerlang dalam perhubungan cinta dan persefahaman di antara keluarga. Ketika dalam kesukaran, jangan takut untuk menerima bantuan daripada mereka yang sentiasa ada untuk memberi sokongan. Dari segi kerjaya, jangan terlalu leka dengan idea lama. Gerakkan minda dan sifat kreativiti anda untuk memberi yang terbaik kepada syarikat.

PISCES Murah rezeki dengan pelbagai projek baru serta peluang yang mendatang. Anda tidak gentar untuk menyahut cabaran. Untuk perhubungan cinta pula, anda akan berdepan dengan perhubungan baru yang terjalin manis dek kerana sifat percaya. Justeru, jangan dirosakkan peluang ini dan usahakannya agar kekal hingga ke jinjang pelamin!

Sienna Miller berbintang Capricorn lahir pada 28 Disember 1981.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.