Berani, Berusaha DAN IKHLAS

EH (Malaysia) - - Sepintas - Khairul Abidin TIMBALAN PENGARANG majalaheh@bluinc.com.my

Ketika saya menulis untuk ruangan Sepintas ini dunia digemparkan dengan pemergian Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Tarikh 5 Disember 2013 itu mungkin menjadi tarikh yang akan terus dikenang oleh rakyat Afrika Selatan khususnya penyokong setianya. Pada hari yang sama banyaklah portal, laman web serta rakan-rakan di laman media sosial berkongsi kata-kata Nelson Mandela. Dan sebahagian kata-katanya itu boleh kita pegang sebagai panduan dalam menempuhi cabaran sepanjang 2014 dan tahun-tahun berikutnya. Saya kongsikan beberapa

quote yang menarik perhatian saya.

Pertama, “It always seems impossible until it’s done.” Ya, jika kita melakukan atau mahukan sesuatu perkara itu, berusahalah kerana tiada apa yang mustahil di bumi ini. Selagi ada usaha dan kemahuan pasti ada jalan yang akan membawa kita menggapainya. Seperti satu artikel di dalam majalah Times tentang 25 inovasi terbaik 2013. Meneliti produk dan penemuan yang tersenarai memang mengujakan, sesetengah benda yang tercipta itu memang di luar jangkaan. Pengajarannya, be creative and be

positive. Tiada yang mustahil. Kedua, “After climbing a great hill, one only finds that there are many more hills to climb.” Dalam usaha mencapai sesuatu yang kita impikan, langkah kita tidak akan sunyi daripada kesukaran dan cabaran. Bukan senang nak senang. Usah biarkan rasa putus asa hinggap dalam diri. Dan percayalah, pabila kita sudah dapat apa yang kita

mahukan, kita tidak pernah rasa puas, kita akan mahukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita ada.

Ketiga, “The greatest glory in living lies not in never falling, but in rising every time we fall.” Kita tidak akan selalu di atas, kerana hidup ibarat roda. Dan kejayaan sebenar dalam hidup adalah apabila kita bangkit dari kegagalan. Berfikiran positif dan tidak mengaku kalah adalah perasaan yang jarang-jarang hadir dalam diri kebanyakan kita. Sebahagian dari kita lebih mudah menyerahkan semuanya kepada takdir.

Keempat, “I learned that courage was not the absence of fear, but the triumph over it. The brave man is not he who does not feel afraid, but he who conquers

that fear.” Kuatkan diri dan berani menyahut cabaran. Emak saya sendiri pernah berpesan kepada saya, sebagai manusia kita kena berani, jika tidak kita tak akan ke mana-mana. Bila teringat kata-kata emak saya itu, kadang-kadang saya tertawa sendiri kerana itulah katakatanya sewaktu saya mahu mengambil ujian memandu kali kedua. Dan kerana kata-katanya itulah saya lulus, agaknya.

Dan pada saya, selain berani, tidak putus asa dan sentiasa berusaha, saya percaya untuk berjaya kita mesti ikhlas. Percayalah, sesuatu pekerjaan yang kita lakukan akan lebih mudah, lancar dan seronok jika ada perasaan ikhlas itu. Selamat tahun baru!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.