Beberapa

EH (Malaysia) - - Siapa Dia -

bulan sebelum 2013 tiba ke penghujung, nama gadis penghias muka depan EH! ini begitu hangat. Dia dan pasangannya Aeril Zafrel menjadi buruan ramai pihak khususnya media yang mahu mendapatkan berita eksklusif tentang perkahwinan senyap-senyap mereka biarpun kedua-duanya sudah pun menjelaskan segala-galanya di dalam satu sidang akhbar khas.

Dalam memikirkan siapa yang mahu diletakkan sebagai penghias muka depan, nama Wawa Zainal mendahului nama-nama lain. Mengapa Wawa Zainal? Selain kerana kehangatan kontroversi yang tercetus, kami percaya inilah edisi yang sesuai untuk kami letakkan Wawa Zainal di muka depan EH! Sempena kemunculan tahun baru, tentunya Wawa punya perancangannya sendiri dalam merencana ‘ kehidupan’ baru bersama Aeril yang baru sahaja menyambut orang baru Ogos lalu. Selain berkongsi kisah kerjaya, bagi kami juga inilah ruang terbaik untuk Wawa memperjelaskan apa yang terjadi yang mungkin masih lagi kabur bagi sesetengah peminat dunia hiburan.

Menurut Wawa sejak terbongkarnya cerita pernikahannya memang banyak media memanggilnya untuk ditemu ramah namun dia masih belum bersedia dan kami di EH! gembira kerana Wawa sudi meluangkan sedikit masa untuk bersama EH! Terima kasih Wawa dan juga Aeril.

Sewaktu menyambut ketibaan Wawa di bawah studio saya sempat bertemu Aeril. “Maaf sebab tak dapat datang ke Parti EH! tempoh hari. Ada hal yang tak dapat dielakkan,” ujarnya yang juga tersenarai dalam EH! 20 Yang Anggun & Disenangi 2013. “Tak mengapa,” balas saya. “Hari ni nak interviu fasal apa ya?” tiba-tiba Wawa bersuara. “Jangan risau, EH! bukan majalah gosip,” sampuk Aeril. Saya yang mendengar sekadar tersenyum.

Pemilik nama Nur Hawa Zainal Abidin ini adalah anak ke lapan daripada 11 adik-beradik. Ayahnya berasal dari Brunei dan ibunya pula dari Filipina dan dibesarkan di Lahad Datu, Sabah. Pernah membintangi variasi filem, antaranya Hantu Dalam Botol Kicap, 3 Temu janji, Aji Noh Motor, 99 Kali Rindu dan yang terbaru Kisah Paling Gangster. Mula dikenali menerusi drama Ana Lulu di saluran TV3, Wawa Zainal bernikah dengan Aeril Zafrel buat kali pertama pada 25 Februari 2012 di rumah pengurusnya, Shahriman Wahab di Taman Datuk Harun Petaling Jaya, Selangor. Mereka dinikahkan oleh seorang juru nikah dari Sabah dan diwalikan oleh bapa Wawa, Zainal Abidin Sulung. Pernikahan itu bagaimanapun tidak didaftarkan di pejabat agama kerana tidak memenuhi prosedur dinikahkan oleh jurunikah bertauliah. Perkahwinan kali kedua di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun Petaling Jaya pada 4 Februari 2013. Pada 24 Ogos tahun lalu, Wawa dan Aeril menyambut kelahiran permata sulung mereka dan dinamakan sebagai Ahmad Fakharuddin Attar. “Saya tidak mahu anak saya berbinkan Abdullah, kerana itulah saya bernikah untuk kali kedua. Pelbagai tohmahan telah dilemparkan berkenaan status sebenar anak kami, dan sebab itu kami terpaksa menceritakan perkara sebenar,” tegasnya.

BEBAS & BAHAGIA

“Apa perasan Wawa ketika ini? Gembira atau masih lagi terganggu dengan kontroversi yang tercetus?,” soalan pertama saya pagi itu. “Lega! Saya rasa sangat bebas, semuanya sudah dijelaskan kepada semua. Saya juga sudah bebas untuk hidup seperti orang lain, bebas keluar bersama Aeril. Wawa juga cukup bersyukur pabila dikurniakan rezeki bergelar ibu, rasa terlalu gembira dan setiap detik bersama anak Wawa adalah waktu yang cukup membahagiakan sampaikan kalau boleh Wawa tidak mahu terlepas melihat dia membesar.”

Tidak semua orang tahu perjalanan cinta antara Wawa dan Aeril, sekalipun pernah gosip percintaan mereka keluar di beberapa media sebelum ini, kedua-duanya selesa memberi jawapan mereka sekadar bersahabat baik. Jelas Wawa, dia dan Aeril dipertemukan untuk penggambaran drama Klik untuk saluran Astro Ceria pada tahun 2010. Dan sejak itu mereka mula rapat dan mula serius menjalinkan hubungan pada 2011. “Pada 2012 Aeril mula menunjukkan perubahan, dia mendalami agama Islam dan ketika itulah Aeril mengajak saya berkahwin. Kata Aeril tak manis andai mereka selalu keluar berdua tanpa sebarang ikatan yang sah. Perkahwinan adalah jalan terbaik untuk menjauhkan kami daripada perkara-perkara yang tidak baik. Dia minta saya bawa dia bertemu keluarga dan pada 25 Februari 2012 kami bernikah.”

“Apa yang membuatkan Aeril berubah?” tanya saya lagi. “Dia sudah lalui macam-macam perkara, susah dan senang dan saya percaya itu yang buat dia mahu berubah dan menjalani kehidupan yang lebih baik.”

Bilang Wawa, Aeril bijak berjenaka. Secara luarannya Aeril tampak pendiam tetapi dia mudah membuat sesiapa tertawa dan kuat menyakat. “Dia juga suka merajuk sebenarnya walaupun dia tak suka bergaduh. Dia penuh dengan sifat sabar sampaikan kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya dalam hati ‘bila nak gaduh ni’...ha ha ha. Saya memang banyak membebel,” ujar Wawa. Pada saya mungkin kerana perbezaan personaliti ini yang membuatkan mereka cukup serasi.

Kata Wawa dia sendiri tidak pernah menyangka dia akan menamatkan zaman bujang seawal ini. Memandangkan dia sudah bertemu dengan orang yang dirasakan sepadan, mengapa perlu melengah-lengahkan perkara yang baik. “Kami mahu menghalalkan perhubungan kami. Jadi pada saya tiada salahnya jika saya berkahwin muda.”

Wawa juga berpendapat kelebihan pabila bertemu jodoh dengan selebriti. Baginya ia memudahkan lagi segala urusan kerjanya kerana masing-masing faham cara kerja dunia seni. “Tetapi kerja sebagai pelakon membataskan masa untuk bersama, jadual kerja tidak menentu dan jangka waktu kerja juga lebih panjang, ada kalanya ambil masa seharian di set penggambaran,” ujar saya. “Setakat ini tiada masalah kerana biasanya Aeril akan berehat sekurang-kurangnya seminggu selepas tamat sesuatu projek. Dia tidak shooting terus-menerus. Jadi soal masa tidak jadi masalah.”

“Apa masakan Wawa yang jadi kegemaran Aeril?” “Jujur saya katakan saya tidaklah hebat di dapur, masih lagi belajar-belajar. Aeril tidak cerewet soal makan, walaupun saya tahu masakan saya tidaklah sesedap mana namun dia tetap akan habiskan. Paling tidak pun dia hanya akan cakap ‘tak sedap’. Oh ya, Aeril ada juga belikan Wawa beberapa buku resipi.”

Menurut Wawa dia dan Aeril memang tiada alasan lain untuk menyembunyikan pernikahan mereka selain kerana terikat dengan kontrak bersama MIG, syarikat tempat dia bernaung. “Bagaimana Wawa dan Aeril mampu menyembunyikan kisah perkahwinan ini hampir dua tahun? Tentu susah menjalani kehidupan suami isteri tanpa umum mengetahui hal sebenar.” “Memang susah. Sebelum pernikahan kami didaftarkan kalau hendak naik lif di rumah terpaksa naik berasingan. Biasanya, saya naik dulu selepas itu barulah Aeril naik.” Dan kerana mahu menyembunyikan hal ini juga Wawa memilih untuk melahirkan anaknya di Pusat Perubatan

Roppi, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. “Di situ tidak ramai pekerja Melayu jadi semuanya terjaga rapi,” tambahnya.

“Lagipun badan saya kecil dan sewaktu mengandung tiada siapa yang perasan perubahan badan saya. Malah sewaktu saya menang Anugerah Artis Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular April tahun lalu juga tiada siapa yang perasan. Begitu juga sewaktu saya hadir ke pratonton filem 99 Kali Rindu sekitar Mei lalu.

“Jika tiada laporan di Berita Harian yang mengesahkan perkahwinan Wawa dan Aeril, agaknya sampai bila Wawa mahu menyembunyikan hal ini?” “Mungkin sehingga kontrak tamat. Entahlah, sebenarnya Wawa tidak menyangka hal ini akan jadi sebesar ini. Malah sebelum hadir ke sidang akhbar tergempar itu saya sendiri tidak menyangka akan seramai itu. Tidak sangka suasana akan menjadi tegang. Saya terpaksa kuatkan diri selama hampir dua jam di sana. Namun saya percaya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, dan hari ini saya berasa lega kerana semuanya telah diperjelaskan.”

Pabila diminta mengulas tentang dakwaan yang dia sebenarnya sudah bertunang sebelum bernikah dengan Aeril, dia menolak dengan baik. “Jika boleh saya tak mahu ulas tentang perkara itu. Pada saya ia terlalu peribadi untuk dikongsikan, hal ini berkaitan dengan keluarga saya jadi biarlah keluarga kami sahaja yang tahu. Saya sendiri sudah berkahwin dan punya anak. Saya mohon maaf kerana tidak boleh jawab soalan ini.”

Jelas Wawa peristiwa ini adalah satu pengalaman paling berharga dan banyak memberi pengajaran serta kekuatan kepada dia dan Aeril. “Banyak yang saya pelajari daripada peristiwa ini. Saya sedar sikap berterus-terang itu lebih baik dan akan memudahkan banyak perkara. Dan di sini Wawa sendiri mahu memohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati dengan tindakan Wawa dan Aeril.”

“Bagaimana pula cerita Wawa terkena penyakit misteri? Benar atau sekadar alasan untuk melarikan diri,” aju saya lagi. “Cerita itu memang betul. Bukan saya sahaja, malah adik-beradik perempuan saya yang lain juga terkena penyakit misteri ini.” “Sakit yang bagaimana?” “Suara saya akan bertukar secara tiba-tiba, kadangkadang bertukar suara bayi. Tapi syukur sekarang saya sudah pulih sepenuhnya. Alhamdulillah. Dan Wawa harap tahun 2014 ini tiada lagi sebarang kontroversi. Saya mahu gembira bersama keluarga saya. Biarkan kami bahagia menjalani kehidupan seperti biasa.”

BINA KARIER SEMULA

Jika diteliti semula perjalanan seni Wawa sejak awal, boleh dikatakan dia meniti jalan yang agak mudah. Tanpa sebarang kontroversi para peminat seni menerima kehadirannya dengan penuh sokongan dan dorongan. Maka tidak hairan dalam ramai-ramai pendatang baru dia yang dipilih sebagai Artis Baru Paling Popular. Dan pada usia semuda itu juga dia dipilih mewakili beberapa jenama kecantikan seperti Lip Ice dan Syahirah.

Menurut Wawa dia masih dalam proses permohonan untuk dilepaskan daripada pengurusan MIG dan bercadang mahu membina semula namanya dalam bidang lakonan dari bawah. “Tetapi jika MIG tidak mahu lepaskan Wawa, apa yang mahu Wawa lakukan?,” tanya saya lagi. “Pada saya mereka tiada masalah untuk melepaskan saya. Siapalah saya, jika tiada saya pun mereka tetap boleh ke depan, nama mereka sudah besar dalam industri. Jika dilihat pada situasi sebenar, saya yang bergantung pada mereka, bukan sebaliknya.”

“Namun saya bukanlah jenis manusia yang tidak mengenang budi. Saya sedar dari mana saya datang. Saya pun tidak mahu jadi seperti kacang lupakan kulit. Saya berterima kasih atas budi yang ditabur namun selepas ini biarlah saya rancang perjalanan karier saya sendiri, lagipun saya sudah bergelar isteri dan punya anak, jadi lebih mudah dan senang rasanya mengatur semuanya sendiri. Apa-apa pun saya perlu dapatkan kebenaran Aeril.”

“Jadi Wawa sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon?” “Tunggulah sehingga anak saya cukup enam bulan. Setakat ini memang ada tawaran yang datang tapi saya masih tidak memberi kata putus lagi. Tetapi saya sudah punya beberapa perancangan yang sudah direncanakan untuk tahun hadapan. Tunggu dan lihatlah, harap-harap semuanya berlangsung seperti yang dirancang.”

IMEJ BARU

Sebelum ini ramai yang masih kabur tentang imej sebenar Wawa Zainal berikutan ada yang melaporkan bahawa dia akan membuka tudung jika ada watak yang memerlukan dia bertindak demikian. Saya sendiri pernah membaca berita ini di sebuah blog hiburan. Namun jelas Wawa kenyataannya diputarbelitkan.

“Sebenarnya begini, pada sidang akhbar saya dan Aeril, ada yang bertanya sama ada saya sudah bertudung sepenuhnya atau tidak. Saya katakan saya belum bertudung sepenuhnya, saya masih dalam proses untuk belajar. Kemudian ada yang bertanya, ‘jadi Wawa akan buka tudung jika berlakon?’. “Jawapan saya ‘ya’ ketika waktu itu saya sememangnya belum bertudung sepenuhnya. Namun yang keluar di media adalah berbeza, kenyataan saya tidak dijelaskan sepenuhnya. Namun saya bersyukur mungkin kerana kontroversi ini telah membuka ruang untuk saya memperbaiki diri, dan saya kini mahu jelaskan saya sudah bertudung sepenuhnya. Mungkin ini juga berkat doa-doa peminat semua.”

“Ada juga peminat-peminat yang komen tentang gaya tudung saya di Instagram, ada yang menegur jika mereka rasakan gaya saya tidak sesuai. Namun saya harap mereka faham saya masih lagi dalam proses belajar dan membiasakan diri. Usah jangkakan perubahan yang terlalu drastik. Saya jadikan komen-komen mereka sebagai panduan.” Jelas Wawa dia banyak browse gambargambar di Instagram dalam mencari ilham gaya ikatan tudung terkini, dan dia bertuah kerana sejak dia bertukar imej ini banyak orang yang menghantarkan baju dan tudung untuknya.

“Aeril suka saya berdandan dan bersiap cantik biarpun di rumah. Tapi faham-faham sahajalah sejak punya anak masakan ada masa untuk bersolek, tidur pun tak cukup. Biasanya seawal jam lima pagi anak sudah terjaga. Anak saya walaupun baru tiga bulan usianya tapi sudah pandai bermain. Seboleh-bolehnya dia mahu kita berbual dengannya. Jika dibiarkan sendiri dia akan menangis.”

“Jika ke majlis-majlis siapa yang selalu solekkan Wawa?” “Saya suka bersolek sendiri. Jika berlakon pun saya lebih senang bersolek sendiri. Saya orangnya jenis tak sabar, kadang-kadang duduk berjam-jam di depan cermin saya jadi rimas, jadi lebih senang saya bersolek sendiri. Hendak sembahyang di set pun lebih mudah dan tidak menyusahkan jurusolek untuk touch up berulang kali.”

Usai penggambaran saya sempat melihat Wawa bersolek sendiri. Membersihkan sedikit baki solekan yang ada, Wawa sekadar meratakan bedak asas menggunakan jari, kemudian mencalit sedikit pembayang mata coklat di kelopak mata dan membentuk keningnya menggunakan warna yang sama. Hasilnya memang cantik, tidak hairan mengapa dia lebih selesa bersolek sendiri. “Yang penting pabila bersolek saya mesti utamakan bahagian kening, biasanya saya akan tebalkan bentuknya,” ujarnya menutup bicara petang itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.