JUNGHANS: CERITA JAM TANGAN JERMAN

Lebih 150 tahun bertapak, Junghans tidak pernah berhenti untuk meneruskan kualiti dan kesungguhan dalam pembuatan jam tangan agar terus meraih kepercayaan.

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

Penggemar jam tangan tahu bahawa nilai estetika seutas jam tangan bukanlah diukur melalui rekaan yang menampilkan gaya mewah semata, ia perlu seiring dengan pembuatan malah kepakaran dalam penghasilan serta teknologi yang disuntik dalam sesebuah rekaan. Ia perlu menonjolkan cita rasa klasik dan yang paling utama rekaannya bukan plagiarisme. Ia turut memerlukan banyak cabang kepakaran serta pengalaman dalam mengekspresikan identiti seutas jam tangan mewah.

Awal Pengenalan Sekitar tahun 1861 merupakan detik kegemilangan serta kejayaan bagi industri jam tangan di Jerman. Pada tahun ini juga Junghans yang di usahakan oleh Edhard Junghans bersama abang iparnya, Jakob Zeller-Tobler di pekan Schramberg diperkenalkan. Terkenal dengan pembuatan yang berkualiti tinggi, syarikat ini pada awalnya memfokuskan perihal pembuatan bahagian-bahagian tertentu untuk pengeluaran jam tangan tetapi pada 1886, mereka berjaya menghasilkan jam tangan ciptaan sendiri. Empat tahun kemudiannya, lesen Junghans didaftarkan dengan menampilkan logo rekaan bintang berbucu lapan dan ia masih kekal sehingga hari ini.

Tahun 1903 merupakan tahun kegemilangan buat Junghans pabila diangkat sebagai pengeluar jam tangan terbesar dunia malah jenama ini meneruskan kuasanya biarpun kala itu sedang berlakunya Perang Dunia. Junghans terus melangkah dan pernah menjadi pengeluar kronometer ketiga terbesar sekitar era 50-an.

Sempena meraikan ulang tahun ke-100 pada 1961, syarikat ini menetapkan satu piawaian baru dalam bidang pengeluaran jam. Di mana, rutin harian kala ini menyaksikan 6000 pekerja di Schramberg bertungkus lumus menghasilkan 5000 jam tangan, 10,000 jam loceng dan 5,000 jam dapur serta jam dinding yang dieksport untuk lebih 100 buah negara.

Rekaan dan teknologi Reka cipta budaya yang tidak terbatas adalah keutamaan di Junghans supaya dapat meneruskan proses yang bertepatan dengan kemajuan teknologi semasa. Sekitar 1956, Junghans pernah menghasilkan jam tangan bersama Max Bill iaitu seorang juru bina, pelukis, penggiat seni arca dan pereka produk untuk jam tangan yang berasaskan gaya klasik interpretasi moden yang menjadi penggemar pengumpul jam tangan.

Sewaktu tercetusnya Quartz Crisis sekitar 70-an, hanya jam tangan Jerman sahaja yang diiktiraf menjadi penjaga masa rasmi Olimpik 1972. Rentetan dari permintaan jam quartz yang sangat tinggi, tahun 90-an Junghans berjaya melancarkan jam tangan radio-controlled pertama dunia yang diberi nama Mega 1 yang diusahakan bersama Frog Design iaitu antara syarikat yang memainkan peranan penting dalam rekaan Iphone.

Junghans Kini Bagi meneruskan kegemilangan yang pernah terpahat dalam sejarah jenama ini, Dr.Steim telah mengambil alih syarikat ini bermula tahun 2000 yang dipimpin bersama pakar pembuat jam tangan, Mr. Matthias Stotz selaku CEO. Penjualannya direkodkan meningkat sebayak 40 peratus menentang pasaran semasa yang sangat lemah. Ini mencipta jalan baru untuk meningkatkan penjenamaan Junghans sekali gus mengekalkan rekod sejarah pencapaian dahulu. Hari ini ia merupakan 100 peratus kepunyaan syarikat Jerman dan hanya mengeluarkan rangkaian jam tangan.

Pembukaan butik di Macau tahun lalu menjadi bukti betapa kukuhnya pasaran Junghans. Tahun lalu Junghans mengembangkan lagi koleksi Meister dengan memperkenalkan Meister Kalendar, Meister Ageda dan Meister Chronometer yang mana ia merupakan rangkaian popular sebelum Quartz Crisis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.