SKAGEN DENMARK: DEDIKASI REKAAN DANISH

Falsafah rekaannya adalah membawa dimensi serta perspektif baru khusus buat komuniti global.

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

Terkenal dengan jenama jam tangan gaya hidup, Skagen Denmark menawarkan rekaan cita rasa elegan, sleek dan moden dalam harga yang berpatutan. Sejak 2003, Skagen Denmark menemui pasaran utama pengeluar Asia Pasifik dan hari ini syarikat ini turut memperkenalkan rangkaian perhiasan kemas yang turut sama dipasarkan di lebih 1600 wakil penjual di Asia.

Pada awal penubuhannya, Skagen Denmark dipelopori oleh pasangan suami isteri, Henrik dan Charlotte Jorst 24 tahun lalu. Dari Denmark mereka berpindah ke New York setelah Jorst di panggil bekerja sebagai pengurus penjualan Amerika Syarikat oleh sebuah syarikat minuman.

Walau bagaimanapun, seni rekaan adalah nadi kepada pasangan ini lalu mereka memutuskan untuk melangsungkan perniagaan sendiri iaitu sebagai wakil pengeluar untuk produk badan korporat. Waktu itu, Henrik dan Jorst memasarkan jam tangan berjenama termasuklah jam tangan eksklusif oleh pereka Jacob Jensen. Peluang bekerja dengan variasi syarikat pengeluar menemukan pasangan ini dengan pengusaha Comtech Watches, lantas menjadi laluan mudah untuk Jorst merealisasikan jam tangan rekaannya untuk syarikat korporat kendaliannya.

Sekitar 1991, sewaktu menyertai pameran korporat di New York, rekaan Henrik dan Jorst mendapat respons positif, bahkan ada peruncit menyarankan pasangan ini mengeluarkan jam tangan label sendiri. Mereka mahu mengembalikan serta menonjolkan estetika rekaan Danish, kesemua rangkaian Skagen Denmark menceritakan tentang bentuk, warna dan fungsi tertentu. Inspirasinya merangkumi kehidupan melalui penataan gaya kontemporari, rekaan berkualiti, kombinasi rona sekata serta paling utama adalah keselesaan.

Sejarah Skagen

Nama Skagen diambil daripada sebuah perkampungan nelayan yang terletak di hujung Utara Denmark. Sejak dulu lagi, para artisan mengembara ke Skagen untuk menikmati serta menjadikan tempat ini sebagai sumber inspirasi dek kerana cahaya semula jadinya yang sangat memukau disulami dengan keindahan alam yang mengasyikkan serta langitnya yang cantik membiru. Pekan ini juga penuh dengan rona kontra yang mengagumkan melalui pembinaan rumah tradisional rona kuning yang berbumbungkan genting merah, hampir sama sentuhannya dengan seni bina moden bertaraf dunia.

Logo lambang kebanggaan Skagen Denmark pula direka melalui simbol ‘Kattegat’ dan ‘Skagerrak’ iaitu dua laut yang menjadi pertembungan di Skagen. Rona biru terang di Skagen pula diadaptasi daripada lemparan garam kristal ke udara di pelabuhan laut ini. Walau bagaimanapun, inspirasi Skagen turut dipengaruhi oleh kekayaan sejarah, tekstur serta dua fungsi utama iaitu sebagai kampung nelayan terpencil dan pusat kebudayaan bertaraf antara bangsa. Kesimpulannya, Skagen Denmark mewakili sebahagian daripada negara Denmark serta masyakatnya yang memberi fokus pada idea yang ringkas tetapi kaya fungsi.

Skagen musim bunga’14

Mengangkat Life by The Sea sebagai tema, koleksi ini menceritakan tentang kombinasi gaya hidup yang ringkas dan mewah di Skagen. Ini meliputi waktu siangnya yang menghidupkan seni, rekaan dan budaya, terutamanya bagi pelukis tempatan. Pencampuran rona yang terhasil daripada keunikan cahaya di sini memberi ilham pada penciptaan rona sekaligus menjadi inspirasi untuk koleksi terbaru ini dengan rekaan versatil untuk pelbagai acara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.