FARALIA BAHARI & SYED NAQIB ALBAR (PENGASAS QIPPY PHOTOGRAPHY, WWW.QIPPY.COM)

EH (Malaysia) - - Love Talk -

Mereka bukan saja pasangan suami isteri, malah rakan kongsi dalam perniagaan fotografi yang mendapat pelbagai anugerah dan penghargaan.

Bagaimana perkenalan anda bermula?

Fara sedang melanjutkan pelajaran di Australia menerima mesej Friendster daripada Naqib yang bekerja di Kuala Lumpur. Tahun 2004, hubungan kami berlanjutan daripada

Instant Messenger kepada panggilan telefon dan akhirnya berjumpa di Kuala Lumpur ketika sambutan hari jadi Fara pada tahun 2005.

Bagaimana cinta berputik?

Selepas tiga bulan perkenalan secara atas talian, Naqib berjumpa dengan keluarga Fara untuk menghantar rombongan meminang. Fara kemudian pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian pada usia 21 tahun. Fara akui tidak begitu mengenali hati budi Naqib, namun cinta mula berputik selepas berkahwin pada tahun 2005.

Apa yang anda suka mengenai pasangan?

Fara: Dia kelakar! Selain itu, Naqib juga penyayang orangnya serta mempunyai karakter yang bertentangan dengan saya. Namun, itulah yang menjadi penarik antara kami seperti yang orang katakan, ‘opposites attract!’ Naqib: Fara mempunyai pekerti yang baik dan sentiasa percaya dengan keupayaan saya. Dia mengubah cara saya memandang dunia dan membantu menjadikan manusia yang lebih baik. Secara keseluruhan, she completes me.

Apa rasanya bekerja di bawah bumbung yang sama?

Fara: Menyeronokkan. Sememangnya ada naik turun dalam perniagaan dan hubungan. Ada masa kami akan membuatkan pasangan berasa jengkel dengan perkara rawak dan ada ketika juga kami memberi motivasi kepada satu sama lain agar dapat meningkatkan mutu kerja masing-masing.

Naqib: Kami dapat mengenali perangai masing-masing dengan lebih mendalam. Anda boleh melihat karakter pasangan daripada ruang profesional sehinggalah dalam kehidupan peribadi. Kami faham dengan cara kerja masing-masing lebih baik berbanding orang lain. Seperti bekerja dengan kawan baik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.