Kerana Cinta Anak Derhaka

DALAM BANYAK-BANYAK CINTA, CINTA MANUSIA APA YANG KEKAL SAMPAI KE SYURGA SANA?

EH (Malaysia) - - Feb 2014 - kisah benar

Selamat menyambut hari cinta. Hari Kekasih disambut meriah saban tahun dengan kata-kata romantis, manisan berserta bunga-bungaan segar bagi menyatakan rasa cinta kepada orang tersayang. Tidak kira bagaimana anda menyambutnya, secara ekstrem mahupun sekadar menonton filem cinta di rumah, moga ia memberi kebahagiaan kepada si dia yang anda sayangi.

Namun, dalam kemeriahan sambutan ‘hari cinta’ itu, sering kita terlupa cinta yang sememangnya sentiasa ada di situ, melihat kita dari kejauhan dan jatuh bangunnya kita sebagai manusia. Cinta yang sentiasa ada, walau dilupakan begitu sahaja. Cinta ibu dan bapa.

Berkat rasa cinta antara aku dan suami, kami dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang begitu indah ciptaannya. Normal dan sihat, kami besarkan kedua anak ini dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab. Keperluan pakaian dan tempat tinggal kami pastikan tersedia sempurna, agar kedua mereka selesa biarpun kami sendiri tidak berganti baju baru. Makan minum juga disediakan istimewa dan yang terbaik, tidak kira jika kami hanya makan nasi kosong dan air sejuk sahaja. Pendek kata, mereka adalah segala-galanya buat kami.

Ramai yang melihat cara didikan kami ini seakan merosakkan anak sendiri. Aku sering beranggapan setiap ibu bapa mempunyai cara dan gaya masing-masing dalam membesarkan anak mereka. Ibu bapa kami juga turut melepaskan rasa risau bilamana melihat keletah Ani, anak sulungku yang sering membentak apabila tidak diikut kehendaknya. Walaupun baru berusia 8 tahun, dia sudah pandai untuk mengamuk sehingga dapat apa yang diingini. Adik lelakinya pula, Amran yang berusia 5 tahun cepat berang dengan keadaan lalu kami menjadi mangsa pukulan tangan kecilnya. Kalau dahulu hanya di kaki, kini sudah pandai menendang kepala kami. Menjerit ibu mertua kami kerana sikap yang dilhat sebagai anak kurang ajar. Namun, aku tidak bersetuju apabila anak kami dipanggil begitu. Dia hanya anak kecil yang masih tidak tahu apa-apa mengenai dunia ini.

Orang kata, melentur buluh biar dari rebungnya. Seusia anak kecil lagi, ibu bapa seharusnya mengajar tertib solat, adab pekerti dalam bermasyarakat dan sifat-sifat murni. Namun, aku dan suami

sering beranggapan terlalu awal untuk mereka dibentangkan dengan ilmu-ilmu itu. Biarlah mereka dengan dunia kanakkanak yang penuh dengan kegembiraan dan tiada bebanan.

Kesibukan kerja tidak menjadi penghalang daripada kami mencurahkan segala kasih sayang yang ada. Hari demi hari, masa berlalu pantas menjadikan anak kesayangan kami ini sebagai remaja yang membanggakan. Aku selaku ibu yang melahirkan bersyukur kerana mereka berjaya dalam pelajaran. Tidak dinafikan kejayaan mereka adalah berkat susah payah yang telah diusahakan.

Hari konvokesyen Ani adalah hari yang paling membahagiakan aku. Suami juga terlalu teruja dan dia sanggup membatalkan mesyuarat bersama klien penting syarikatnya. Ah, kerja boleh diganti-ganti. Kalau ada rezeki, adalah. Anak lebih penting dari segalanya. Saat melihat dia tersenyum bangga di pentas dengan skrol di tangan membuatkan hati aku berbunga sehingga mengalir air mata gembira.

Usai majlis, aku dan suami menunggu dengan sabar di bawah mentari panas untuk Ani keluar dari dewan. Kami sudah berjanji untuk keluar makan bersama sekeluarga bagi meraikan hari kegemilangan ini. Dari jauh aku lihat Ani berlari anak ke arah kami. Aku depakan tangan untuk memeluk namun dia tidak menyambutnya. Malah dia hulurkan jubah konvo dan skrol di tangan.

“Ibu, Ani nak keluar dengan kawankawan. Kami nak celebrate di KL! Jumpa nanti, okey?” Terlihat jelas keceriaan di wajahnya. Hendak dihalang, hari ini hari istimewanya. Kami hanya makan hati melihat dia berlalu pergi tanpa sedikit pun berpaling ke belakang atau meminta maaf kerana membatalkan rancangan keluarga. Tidak mengapalah, anak muda. Aku seka sedikit air mata kecewa dan cuba melupakan perkara remeh itu.

Jika Ani adalah seorang anak yang terkenal dengan keletah manjanya, lain pula buat Amran. Pendiam dan sering memencilkan diri. Sedikit pun dia tidak mahu berkongsi cerita mengenai perihal hariannya. Apakah salah kami hingga dia seakan menyingkirkan kami terus dari hidupnya.

Malam itu, dia pulang seperti biasa pada jam 10. Dengan langkah longlai dan tanpa salam, dia berjalan melepasi aku untuk naik ke biliknya. Sedih hati melihat kerenah anak lelaki ini. Sudah hilang adabkah Amran dalam hidupnya? Atau aku kah yang bersalah kerana tidak memberi tumpuan yang lebih ketika tumbesarannya?

“Amran dah makan sayang? Ibu masak nasi lemak kegemaran Amran,” sambil aku sendiri tersenyum manis mempelawa dia makan masakanku. “Am dah kenyang. Good night.” Dingin. Sungguh kaku perbualan kami. Akukah yang terlalu emosi atau memang benar anak-anakku sudah mula meminggirkan aku daripada hidup mereka?

Beberapa bulan kemudian, Ani diterima bekerja di salah sebuah syarikat pengiklanan terkemuka di ibu kota. Alhamdulillah, sebagai ibu, aku bersyukur anak itu berjaya di atas kaki sendiri. Walau tiada ucapan terima kasih, namun aku tidak peduli asalkan dia menempuh jaya dalam hidupnya. Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Semakin hebat kerjaya Ani, semakin hebat juga gaya pemakaiannya. Skirt dipakai semakin singkat dan baju semakin sendat. Sakit mata aku melihatnya. Suatu hari, aku memberanikan diri menegur cara pemakaiannya yang terlalu menjolok mata. Namun hampa apabila teguran lembut yang aku berikan dibalas dengan jeritan nyaring Ani.

“Ibu apa tahu pasal fesyen. Takkanlah ibu nak Ani pakai macam ibu ni. Jubah labuh, besar pulak tu. Macam orang tua la!” Bentak Ani dengan penuh berang. Dia berlalu pergi dan meluru keluar rumah, entah mana dia tuju.

Tersentak aku mendengar kata-kata sinis Ani. Anak ini kah yang aku besarkan dengan penuh kelembutan dan kasih sayang? Anak ini kah yang aku suapkan makan dengan tangan kananku sendiri? Kecewa. Sungguh hati aku remuk. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana sedih hati aku apabila dilayan anak sendiri begini. Dinginnya hubungan aku dan Ani berlanjutan bukan sehari dua, malah berbulan lamanya. Dia masih menaruh dendam dan begitu rimas dengan kehadiranku. Lalu dia membuat keputusan untuk keluar dari rumah keluarga ini dan menyewa bersama seorang rakan. Apabila ditanya siapa rakannya itu, dia hanya menjeling tajam dan menyuruh agar aku tidak campur tangan dalam urusannya.

Aku sebagai ibu bukan mahu menyibuk dalam urusannya. Dia anakku. Selagi dia belum bersuami, Ani menjadi tanggungjawab aku dan suami untuk menjaga maruah dan kebajikannya sehingga dia berkahwin nanti. Suatu hari, melalui perbualan bersama teman rapat Ani iaitu Sarah, aku melawat rumah sewa yang diduduki Ani bersama rakannya. Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki muda muncul menjawab salam. Dia yang hanya berseluar pendek terkejut melihat kehadiranku yang ditemani Sarah. Ani muncul beberapa saat kemudian berpakaian cukup mengghairahkan. Wajahnya pucat, mungkin takut melihat aku di situ.

“Siapa ni Ani? Ani tinggal dengan siapa dalam rumah ni?”Aku cuba mendapatkan penjelasan daripada anak kesayanganku itu.

“Kawan Ani lah. Ini duit Ani. Ibu peduli apa? Aku tak makan duit kau pun!”

Semacam orang gila Ani menjerit dan mempertahankan dirinya. Banyak lagi kata-kata nista yang dihamburkan namun seakan kabur dari pendengaranku. Mataku juga digenangi air mata yang entah melambangkan kekecewaan atau kesedihan. Aku tersentak daripada duniaku sendiri apabila pintu dihempas kuat. Mujur ada Sarah yang memegang erat aku daripada terjatuh.

Sarah memanduku pulang. Aku pandang keluar tingkap dan bertanya kepada diri sendiri, apa salahku hingga begini jadinya Ani? Aku hanya inginkan zuriat yang mendapat cukup kasih sayang dan menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Terlalu banyakkah kasih sayang yang aku curahkan sehingga menjadi racun yang boleh membawa dia ke pintu neraka?

Dalam diam, aku menyalahkan diri sendiri kerana mencurahkan kasih sayang tanpa ada didikan yang sempurna. Benar apa yang dikata, manusia ini apabila mencari dan dicurahkan dengan terlalu banyak kenikmatan dunia, mudah lupa diri dan boleh memudaratkan. Aku hanya seorang ibu yang mahukan hal terbaik buat hadiah yang Allah telah berikan kepada aku dan suami. Terdetik dalam hati, masih sempatkah aku ingin memperbaiki kesalahanku ini terhadap Amran?

“KAWAN ANI LAH. INI DUIT ANI. IBU PEDULI APA? AKU TAK MAKAN DUIT KAU PUN!”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.