ETIKA Hidup - Imaginasi VS Realiti

Percayalah apa yang anda ‘visual’ kan dalam khayalan tidak akan sama dengan apa yang anda lalui dalam realiti kehidupan.

EH (Malaysia) - - Feb 2014 - DON JON

Saya menonton Don Jon lakonan Joseph Gordon-Levitt bersama Scarlett Johansson dan Julianne Moore. Ceritanya begini, Jon seorang lelaki yang ketagih menonton pornografi dan selalu membayangkan kehidupan seksualnya akan sehebat apa yang ditonton. Malangnya tidak. Dia bertemu ramai wanita dan melakukan hubungan seksual bersama mereka namun dia masih belum lagi puas. Ada saja yang kurang pada pandangannya sehingga satu hari dia bertemu Barbara (Scarlett Johansson) yang dibayangkan sebagai wanita yang cukup sempurna fizikalnya dan Jon percaya bahawa Barbara hebat di ranjang. Namun Jon masih belum puas. Barbara gagal memberi apa yang ditawarkan dalam filem pornografi yang ditonton. Tetapi Jon masih mahu menjalinkan hubungan bersama Barbara sehingga Barbara mendapat tahu tentang hobi jelik teman lelakinya itu lalu mereka putus. Dijadikan cerita Jon ditemukan dengan Esther yang juga teman sekelasnya. Esther tidak langsung menggambarkan wanita yang didambakan Jon, sedikit pun tidak. Namun di hujung cerita (biarpun ia kelihatan cukup klise) Jon bahagia bersama Esther.

Tujuan saya berkongsi cerita tentang filem ini adalah sebenarnya untuk mentafsir maksud tersirat yang cuba disampaikan Gordon-Levitt yang juga pengarah filem ini. Sebagai manusia kita sering menginginkan kehidupan yang cukup sempurna seperti apa yang kita tonton di filem atau ingin memiliki kehidupan orang lain yang pada mata kita cukup sempurna. Sebagai contoh, membuka akaun Instagram setiap hari melihat gambar-gambar teman ‘virtual’ yang menjalani kehidupan cukup mewah, kembara ke sana sini, hidup sempurna dengan pasangan masing-masing. Dan anda juga mahukan hal itu namun realitinya berbeza dengan apa yang anda miliki.

Sama seperti apa yang dilalui Jon begitu juga dengan manusia hari ini. Idea memiliki kehidupan sempurna semakin dikaburi dengan kemewahan juga kebahagiaan orang lain. Apa yang dijual secara visual atau virtual ini hanyalah angan-angan. Jeffrey Kluger dalam artikel The Happiness of Pursuit yang tulis untuk majalah TIME edisi Julai 2013 menyatakan – jurang antara realiti hidup dengan terma yang disebut sebagai optimistic expectation ini wujud kerana pengaruh kuat segala bentuk fiksyen yang dijual teknologi hari ini. Manusia hari ini mencipta bahagia bukan daripada apa yang mereka usahakan tetapi daripada apa yang mereka tonton dan berharap hidup akan jadi sebagus apa yang ditawarkan daripada apa yang ditonton.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.