Stres Kerja Bawa Maut

Manusia terlampau taasub untuk mencapai kegemilangan karier, tanpa mempedulikan soal kesihatan yakni harta yang paling bernilai dalam hidup.

EH (Malaysia) - - Feb 2014 -

Apabila wang menjadi fokus utama, maka ada sesuatu yang lain perlu dikorbankan. Tidak dinafikan tekanan untuk memenuhi kehendak karier yang penuh dengan persaingan kini menjadi alasan manusia sanggup untuk bersusah payah. Kesihatan tidak lagi diberi perhatian lalu menyebabkan pelbagai penyakit dan stres kronik yang adakalanya boleh mengakibatkan kematian.

KETIDAKSEIMBANGAN HIDUP

Sikap terlalu fokus dan obses terhadap kerja menyebabkan seseorang individu itu mengalami ketidakseimbangan dalam perjalanan hidupnya. Berikut adalah akibat tekanan kerja yang banyak:

NUTRISI BADAN TIDAK SEIMBANG

Bila anda terlebih bekerja, badan anda menjadi terlampau penat. Ini menyebabkan anda bergantung kepada kopi untuk kekal bertenaga, juga cenderung untuk memilih makanan yang tidak sihat kerana kekangan masa yang terhad. Bersenam juga seakan perkara yang semakin dilupakan.

KURANG TIDUR

Orang dewasa memerlukan tidur yang mencukupi antara 7 hingga 8 jam sehari bagi memberi tenaga pada keesokan harinya. Kurang tidur menyebabkan otak jadi lembap dalam memberi tindakbalas dan berfikir.

TIDAK GEMBIRA

Asyik dengan kertas kerja dan perbincangan berjamjam lamanya membuatkan anda tiada masa untuk diri sendiri, apatah lagi untuk orang sekeliling. Tiada komunikasi untuk menyemai hubungan baik bersama keluarga. Mudah berang dan tidak mensyukuri nikmat hidup. Hubungan dengan manusia terganggu, sekaligus menambah beban stres yang ada.

PENAMBAH TENAGA

Tidak fokus, mengantuk dan letih mendorong anda untuk menikmati minuman tenaga agar segar kembali. Minuman tenaga mengandungi bahan tambahan dan vitamin yang jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan toksik pada hati, gangguan sistem saraf, tekanan darah rendah serta penyakit mental.

PENYAKIT

Menurut World Health Organizatiion (WHO), 35 peratus daripada kes stres kerja mengakibatkan penyakit mental kronik. Mereka juga mengalami kemurungan yang berpanjangan akibat panik dan kerisauan sepanjang masa. Selain itu, bagi mereka yang bekerja melebihi 10 jam setiap hari mempunyai 60 peratus peluang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.