Sporty In Spring

ELEMEN HELAIAN SUKAN ANTARA YANG MENJADI KUNCI TREND HANGAT PENTAS FESYEN MUSIM BUNGA‘14. TIDAK LAGI TERSEKAT PADA GAYA SANTAI, PERCIKKAN GAYA SUKA JUGA MERESAP KE GAYA MEWAH.

EH (Malaysia) - - Stail -

Balenciaga, Marc by Marc Jacobs, Prada dan Gucci antara rumah fesyen musim ini yang mencuit selera penggemar fesyen dengan adunan gaya sukan. Gaya santai sukan kali ini diterjemahkan dalam gaya yang lebih mewah serta tidak hanya tersekat kepada gaya kasual semata.

Koleksi terbaru Peter Dundas yang berkarya buat Emilio Pucci misalnya dianggap sebagai salah satu keraian buat helaian-helaian ke gimnasium. Pengaruh gaya kasual dan pentas bintang Pop seperti Rita Ora, Rihanna dan Beyonce dikatakan adalah rujukan gaya Dundas.

“I wanted to come back with my abs,” itu luahan Frida Giannini, Pengarah Kreatif Gucci. Dia yang mengandung sewaktu mereka koleksi sebelum ini melimpahkan ilham sukan buat koleksi musim bunga/ panas Gucci. Seluar trak, kardigan dengan lengan kimono, bra segi tiga dan kemeja-T longgar antara garapannya yang jelas dimonopoli ilham sukan. Para pengkritik fesyen menyimpulkan koleksi Giannini kali ini lebih bersahaja dan tidak terlalu tertekan untuk menonjolkan imej glamor dan mewah.

Begitu juga dengan himpunan rangkaian kedua Marc Jacobs, Marc by Marc Jacobs, dia menghembuskan udara segar pada helaiannya dengan memercikkan gaya sukan yang lebih mewah. Misalnya jaket dan seluar pendek satin berperincikan piping rona berbeza. Dan Lacoste yang sememangnya sinonim dengan koleksi helaian berinspirasi sukan menyambut ketibaan kehangatan gaya ini dengan pementasan koleksi baru yang cukup bersahaja. Helaiannya tampil dalam rona pastel pelbagai ton sekaligus menyuntik elemen romantis pada helaiannya. Begitu juga di Tommy Hilfiger, mata cukup segar menikmati helaian demi helaiannya. Elemen sukannya cukup bertenaga namun tidak kalah gaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.