Pelancar Hubungan Intim

IA BUKAN SEKADAR MENJADI PELENGKAP MALAM INDAHMU, MALAH BOLEH MEMBERI KEPUASAN BERGANDA KEPADA SESETENGAH INDIVIDU.

EH (Malaysia) - - Seks -

Tidak ramai yang tahu mengenai fungsi pelincir dalam hubungan intim suami isteri. Usah terkejut jika masih ada yang tidak tahu langsung mengenainya. Pelincir hadir dalam pelbagai bentuk seperti pelincir yang mengandungi minyak, berasaskan air, pelincir berperasa dan sebagainya.

KEGUNAAN PELINCIR

Ramai wanita di luar sana mengalami kekeringan vagina. Ini berpunca daripada pelbagai sebab antaranya faktor usia, keinginan yang tidak selari dengan pasangan, penat, pengaruh kesihatan dan banyak lagi. Pelincir boleh membantu mengelakkan wanita daripada rasa sakit yang berpanjangan akibat geseran, sekaligus mengelakkan daripada terjadinya rasa tidak puas hati atau masalah dalam hubungan bersama pasangan.

FAKTA DAN TIP UNTUK ANDA

1 Tahu apa yang anda lakukan

Walaupun anda menggunakan kondom, tetap gunakan walau sedikit pelincir kerana ketahuilah pertembungan kulit dan getah kondom boleh menyebabkan geseran yang menyakitkan.

2 Pilih yang betul

Bukan semua jenis pelincir sesuai untuk kulit, terutamanya bagi golongan wanita. Alat sulit wanita adalah anggota badan yang sangat sensitif, sementelah ia berada di dalam tubuh badan. Ramai yang memilih pelincir berasaskan air kerana ia selamat untuk kebanyakan kulit. Hentikan penggunaan pelincir jika ia menyebabkan kulit anda rasa berbahang atau gatal. Rujuk doktor sakit puan untuk keterangan lanjut.

3 Jangan terlalu ekstrem!

Tidak digalakkan untuk menggunakan pelincir yang mengandungi perasa atau pewangi ketika hubungan seks kerana ia boleh mendatangkan keradangan pada alat sulit wanita. Seeloknya pilih pelincir yang disahkan selamat oleh jabatan kesihatan dan bukan dari jenama yang tidak diketahui kandungannya.

4Selamat untuk ibu mengandung

Kepada mereka yang tertanya-tanya jika pelincir boleh digunakan ketika mengandung, jawapannya ya! Serviks tertutup rapat ketika hamil dan tidak mungkin pelincir akan membahayakan keselamatan bayi dalam kandungan.

5Makanan sebagai pelincir?

Sebelum kewujudan pelincir komersial, manusia menggunakan bahan makanan dan semula jadi seperti minyak zaitun atau mentega sebagai pelincir. Jangan lakukan ini! Memang makanan semula jadi ini baik untuk tubuh badan, tetapi bukan untuk hubungan seks. Kebarangkalian untuk anda dijangkiti kuman adalah tinggi dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit.

KEBAIKAN PELINCIR

Menurut kajian yang dilakukan Universiti Indiana terhadap lebih 2,400 wanita sebagai responden, mereka memilih untuk melakukan hubungan seks menggunakan bantuan pelincir kerana ia memberi pengalaman hubungan seks yang lebih menyeronokkan.

Pelincir adalah medium yang baik untuk digunakan bersama kondom bagi mereka yang merancang kehamilan kerana peratus untuk kondom koyak atau rosak adalah rendah apabila digunakan bersama dengan pelincir.

Pelincir mengurangkan keradangan kepada wanita yang mengalami masalah kekeringan vagina, terutama bagi mereka yang menghampiri tempoh menopaus atau mempunyai masalah rangsangan.

Ia juga memberi persepsi positif kepada pasangan suami isteri yang baru pertama kali melakukan hubungan seks. Selain mengelakkan kesakitan, ia dapat membaiki emosi dan menanam rasa yakin pada diri seseorang wanita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.