Stail REFLEKSI DIRI

EH (Malaysia) - - Sepintas -

Sewaktu saya menulis nota buat ruangan ini sambutan Tahun Baru Cina baru sahaja berlalu. Dan syukur rezeki buat semua rakan sekerja, syarikat memberi wang poket lebih buat semua. Kebetulan juga jualan murah yang bermula sejak hujung tahun lalu masih berbaki. Dan dengan ‘duit poket’ itulah saya dan rakan-rakan yang lain pergi dari satu mall ke satu mall demi menyendatkan lagi isi almari dengan helaian pelbagai rupa.

Hari ini shopping bukan saja jadi kegilaan orang perempuan, lelaki juga sudah boleh berlama-lama di dalam butik, mencari, membelek dan memilih apa yang sesuai buat mereka. Jika tidak masakan semakin banyak butik yang menawarkan rangkaian khusus buat lelaki dibuka di ibu kota. Seperti kata Bo Derek, ‘ Whoever said that money can’t buy happiness, simply didn’t know where to go shopping’. Sarah Jessica Parker menerusi watak ikoniknya Carrie Bradshaw pula menambah, ‘I like my money right where I can see it: hanging in my closet’. Jika ada duit lebih belilah apa yang kamu suka jika itu boleh buat kamu gembira. Usah kedekut untuk mencantikkan diri sendiri.

Tetapi yang seronoknya pabila membeli-belah dengan kawan-kawan kita tidak hanya mencari untuk diri sendiri, bila terjumpa sesuatu helaian kita boleh suakan kepada kawan-kawan yang lain.

‘Baju ni so you’ itu sudah boleh dikira ayat wajib bila ternampak mana-mana baju yang kita rasakan sesuai dengan kawan-kawan kita.

Setiap orang memang ada identiti gaya tersendiri, dan dari situlah stail individu itu terbina. Orang yang kita jumpa setiap hari memang boleh tahu apa yang kita suka, apa yang tidak. Stail tidak boleh diubah-ubah sesuka hati, tidak juga terbentuk dalam satu hari kerana dari stail itu sendiri terbinanya rasa yakin juga selesa. Pengalaman saya membuat penggambaran, tidak semua selebriti mahu diubah-ubah gayanya, tidak semua berani mencuba, mereka bimbang peminat tidak suka dan mereka sendiri tidak selesa. Seperti kata Rachel Zoe, “Stail adalah cara untuk menyatakan siapakah diri anda tanpa perlu berkata-kata”. Stail itu pada saya adalah refleksi siapa kita.

Dan kerana pentingnya stail pada kami maka kami anjurkan Anugerah Stail EH! sekali lagi tahun ini. Dibawakan bersama AX Armani Exchange, anugerah ini satu keraian buat selebriti tanah air yang kami rasakan cukup rencahnya dalam bergaya. Sebanyak 15 kategori dipertandingkan, dan lima nama disenarai pendekkan bagi setiap kategori. Hakikatnya bukan mudah untuk memilih lima nama akhir kerana setiap selebriti punya tarikan tersendiri. Kami undang tiga panel juri,

supermodel Tengku Azura, Zaihani M Zain (Perunding Penata Gaya) dan Ayie Ali yang dikenali menerusi segmen Stailista untuk membantu kami memilih siapa yang layak disenaraikan sebagai top 5. Kini kami buka ruang kepada anda pembaca setia EH! untuk memilih siapa yang layak mengungguli setiap kategori. Salam Stail!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.