KHASIAT ASID FOLIK

Tahukah anda kekurangan asid folik boleh mengakibatkan kecacatan lahir kepada bayi dalam kandungan? Asid folik penting bagi wanita hamil.

EH (Malaysia) - - Kesihatan -

Asid folik merupakan sejenis vitamin iaitu vitamin B9. Ia berfungsi untuk membantu tubuh menghasilkan sel darah merah bagi tujuan tumbesaran yang normal. Asid Folik adalah vitamin yang sangat berguna bagi wanita hamil.

Tetapi ia seharusnya diambil tiga bulan sebelum kehamilan. Ini kerana dalam jangka masa tiga bulan itu khasiat asid folik memberikan hasil yang kondusif kepada janin. Vitamin memerlukan masa untuk penyerapan yang lebih efektif ke dalam tubuh badan kita.

Sememangnya semua orang termasuk lelaki memerlukan asid folik tetapi wanita lebih memerlukannya kerana asid folik bukan hanya baik untuk diri sendiri malah ia baik untuk janin yang dikandung.

Berdasarkan rujukan pengambilan nutrien Amerika Syarikat, setiap hari wanita memerlukan 400 mikrogram (mcg) asid folik sebelum hamil. Ini kerana peratusan masalah kepada tumbesaran janin dan ke atas wanita hamil adalah tinggi jika mereka tidak mengambil vitamin ini.

KESAN KEKURANGAN ASID FOLIK

Kesan yang serius akan berlaku jikalau wanita tidak mengambil atau kekurangan asid folik seperti kecacatan tiub saraf atau Neural Tube Defects (NTDs). Kecacatan tiub saraf adalah kecacatan lahir pada bayi sejak dari dalam kandungan lagi. Menurut kajian, akan ada satu kes yang melibatkan kecacatan serius ini di Malaysia setiap tahun. Kecacatan ini berlaku apabila pembentukan tiub saraf ini gagal akibat kekurangan asid folik. Kebiasaannya, bayi yang lahir dengan kecacatan ini akan mengalami ketidakupayaan dan berisiko untuk mati.

KAEDAH MENDAPATKAN ASID FOLIK

Vitamin atau suplemen adalah salah satu kaedah untuk membantu tubuh badan kita mendapatkan asid folik dengan lebih berkesan. Namun, pengambilan asid folik berlebihan 1000mcg pula mampu memberi simptom anemia. Anemia boleh mengakibatkan otak dan saraf kita rosak sekiranya tidak dirawat dengan cepat.

Diet yang sihat dan pemakanan seimbang mampu mengurangkan risiko kecacatan serius ini berlaku kepada bayi yang dikandungkan. Pengambilan makanan yang kaya dengan folat mampu menghasilkan asid folik. Antara makanan yang mengandungi folat adalah sayursayuran hijau, buah oren, strawberi, kekacang dan produk bijian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.