Mercu Tanda Baru The Intermark

LEBIH KEMAS, LEBIH MENARIK DAN TENTUNYA LEBIH MENYELESAKAN. JAYA GROCER BERWAJAH BARU DI THE INTERMARK.

EH (Malaysia) - - Santai Kota -

Tidak selalu ruangan ini membawa pembaca menjengah pasar raya, kali ini EH! mahu berkongsi cerita pembukaan Jaya Grocer baru yang berlokasikan The Intermark. Ini adalah cawangannya yang ketujuh dalam jangka masa lima tahun.

Keluasannya 30,000 kaki persegi, dan gaya persembahannya juga berbeza dari cawangan lain, sama ada dari hiasannya mahupun pilihan makanan import premiumnya yang pelbagai, bahan sajian organik hinggalah kepada aneka pilihan menu menjamu selera.

Menurut Pengarah Operasi, Daniel Tang, susun atur dan hiasan Jaya Grocer di Intermark diserasikan dengan lokasinya sendiri, Ujarnya, “Hei kitakan berada di The Intermark! Mestilah serasi dengannya, baik dari segi hiasan dalaman mahupun susun atur. Barulah kita kelihatan menyerlah. Tetapi yang lebih penting ialah ia perlu memenuhi keperluan dan keselesaan para pelanggan.”

Laluan pejalan kaki yang disediakan oleh pakar-pakar dalaman yang tersendiri adalah cukup luas sehingga beberapa pelanggan boleh menolak troli mereka tanpa bertembung sesama sendiri. Turut ada deretan gerai sepanjang 110 kaki, dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan segar, sama seperti di pasar pagi atau pasar basah, cuma lebih kemas dan selesa.

Memastikan layanan yang memuaskan, setiap gerai dikendalikan oleh seorang petugas khas untuk berinteraksi dan membantu pelanggan; seperti memberi nasihat dalam memilih sayur bahan yang tepat dengan sajian yang mahu anda sediakan.

Bagi yang sudah biasa mengunjungi Jaya Grocer juga tentu teruja mengetahui barangan yang sedia ada di cawangan-cawangan yang lain juga boleh didapati di The Intermark. Pilihlah daging kegemaran anda, makanan laut atau daging Wagyu dengan isi dan lemak pada lapan atau sembilan marbling score, dan chef di Fresco akan memasaknya mengikut selera anda, dan segera dihidangkan. Baker’s Son pula pasti menggoda anda dengan aroma roti yang membangkit selera, manakala Bonjour Café menawarkan pelbagai pastri dan kek yang lazat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.