Mimpi Kita

Semakin kukuh membina nama dalam dunia fesyen tempatan, Mimpi Kita menjadi antara jenama pilihan ramai hari ini. Tidak mahu terikat dengan idea fesyen semata, jenama yang diasaskan oleh tiga beradik ini hadir dengan visi yang jelas untuk berjaya.

EH (Malaysia) - - Inspirasi -

Perancangan merakamkan kejayaan tiga beradik ini sudah lama dirancang namun hanya Nurul dan Mira sahaja dapat bersama untuk sesi fotografi kali ini kerana Syahirah ada urusan lain yang harus dilaksanakan. Mula bertapak pada 2008 – mereka mengusahakan Mimpi Kita hanya dengan satu sudut kecil di pejabat ayah mereka selain menjual pakaian secara online. Dari situ mereka perlahan melangkah membuka butik di sebuah rumah di Bangsar sebelum memiliki butik sendiri hari ini. berbual panjang akan kejayaan yang dikongsi tiga beradik ini.

Nama Mimpi Kita Cukup Ikonik. Dari Mana Datangnya Idea Nama Ini?

Sebetulnya kami suka berangan. Biasalah perempuan ada saja yang dimahukan, jadi bila memutuskan untuk menjalankan bisnes dalam bidang fesyen kami mencari nama yang sedap dan mudah diingat. Apa yang penting adalah untuk cipta satu nama dalam bahasa Melayu yang catchy sebab pada masa kami memulakan perniagaan ini ramai yang menggunakan bahasa Inggeris. Sedangkan bagi kami nama dalam bahasa Melayu juga unik untuk digunakan.

Kekuatan Mimpi Kita

Versatility yang kami ada. Tidak hanya terikat pada ready to wear tetapi juga buat majlis tertentu seperti pertunangan dan perkahwinan. Ramai yang datang ke sini kerana percaya dengan signature koleksi kami yang colorful dan juga motif cetakan yang menarik.

Prinsip

Kami berpegang pada dua prinsip yang disebut sebagai saleable and wearable. Dua elemen ini harus bersatu bagi mendapatkan hasil yang orang suka dan pada masa yang sama masih mengekalkan identiti kami.

Penting Atau Tidak Untuk Jenama Ini Terikat Dengan Trend?

Perlu ada keseimbangan antara trend dan estetika rekaan. Kami berpegang pada kelebihan yang kami ada dan pada masa yang sama perlu sentiasa update dengan trend semasa supaya jenama ini sama relevan dengan apa yang ada di pasaran. Trend dan budaya juga sebetulnya penting untuk kami mendapat inspirasi dalam setiap koleksi.

Tentang Persaingan

Sebetulnya sedikit sebanyak ia memberi tekanan namun kami melihat semakin ramai pesaing membuatkan kami ingin bekerja lebih keras menghasilkan yang lebih baik. Terutama daripada mereka yang baru menapak – perihal seperti harga mungkin menjadi isu namun apa yang pasti mereka yang datang ke Mimpi Kita adalah untuk membeli ‘idea’ dan itu yang kami sering tekankan bagi menguatkan lagi penjenamaan butik ini.

Pengalaman Sukar

Sudah tentu ketika memulakan perniagaan dulu. Bermula dengan modal yang kecil, mencari ruang niaga dan pada masa yang sama perlu kuat mencari pelanggan. Namun semua usaha keras tersebut sebenarnya satu pelajaran untuk kami menjadi matang dari segala hal terutama pengurusan perniagaan, pelanggan dan juga pekerja yang ada. Alhamdulillah tahun lalu menjadi tahun yang cukup baik untuk Mimpi Kita namun itu bukan alasan untuk kami terlalu selesa. Usaha harus dilipat gandakan dan sentiasa memperbaiki apa juga kelemahan yang ada.

Momen Terbaik

Undangan untuk menyertai Kuala Lumpur Fashion Week pada 2013, ia antara pendedahan yang baik untuk penjenamaan Mimpi Kita.

Tentang Kebanjiran Jenama Fesyen Tempatan

Ia perkembangan yang positif kerana ini menjadi petanda orang tempatan mula yakin dengan produk yang dibikin oleh orang kita. Rangkaian ready to wear mungkin agak perlahan kerana orang masih mencari jenama hi-street seperti Zara atau H&M namun kami percaya sedikit masa lagi orang ramai akan mula mencari pakaian ready to wear jenama tempatan kerana variasi yang ada. Hal ini masih lagi dilihat sebagai on going process dan perlu sedikit masa lagi untuk betul-betul mencapai standard serupa dengan jenama antarabangsa.

Perancangan Akan Datang

Kami di Mimpi Kita selesa untuk memiliki hanya satu butik sahaja buat masa sekarang. Namun kami punya vendor yang menjual koleksi ready to wear kami di Sabah. Kami ingin beri lebih perhatian menjual secara online untuk pasaran antarabangsa selain mahu meningkatkan kualiti servis pelanggan. Insya-Allah akan ada kafe Mimpi Kita tidak lama lagi.

Nasihat

Selain modal yang mencukupi jika anda berminat menceburkan diri dalam bidang ini perlu ada persediaan rapi mental dan fizikal supaya tidak kalah dengan kegagalan. Harus sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana tidak semestinya apa yang anda usahakan akan menemui jalan kejayaan adakalanya tidak berjaya tapi kena sentiasa terus fikirkan ikhtiar lain dan bekerjalah dengan kreatif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.