UNGKIT SEJARAH DI SIEM REAP

Terkenal sebagai lokasi yang kaya dengan lokasi bersejarah, Air Asia membawa kumpulan media untuk terbang ke Siem Reap, Kemboja bersama Tomok sekeluarga.

EH (Malaysia) - - Melancong -

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, kesemua kumpulan media dan Tomok terus dibawa ke lokasi pertama percutian kami, Angkor Silk Farm yang terletak berdekatan dengan lapangan terbang. Lokasi ini mempromosikan pembuatan fabrik terkenal iaitu sutera. Kemboja yang dulu dikenali sebagai kerajaan Khmer menjadikan sutera salah satu punca pendapatan negara. Di Angkor Silk Farm, kami berpeluang melihat secara dekat proses pemeliharaan ulat sutera yang dikelaskan mengikut jenis sehinggalah kain sutera ditenun menggunakan mesin tradisional. Kesemua kain sutera ini mempunyai kualiti yang begitu sempurna dengan jahitan kemas dan benang yang bersinar cantik dan lembut. Tidak hairanlah jika harganya boleh mencapai sehingga ratusan ringgit setiap satunya.

CINTA BUDAYA KHMER Kami kemudian dibawa ke lokasi penginapan sepanjang empat hari percutian iaitu di Royal Angkor Resort. Usai makan tengahari, kami ke Artisan D’Angkor The Handicraft Centre. Tempat kunjungan pelancong ini dibangunkan hasil kerjasama dengan kerajaan, khas untuk mengekalkan kebudayaan dan hasil seni Kemboja. Pusat kraftangan ini juga memberi peluang kepada golongan kurang upaya untuk mencari nafkah.

Petang itu, kami menyusuri kawasan pendalaman untuk menonton perlawanan tinju Khmer Boxing atau lebih dikenali sebagai Pradal Serey. Ini pengalaman pertama penulis berada begitu dekat dengan gelanggang dan melihat tumbukan serta serangan demi serangan oleh kedua petinju. Suasana hingar dek kelantangan suara penonton yang bersorak dan alunan muzik tradisional rancak oleh pemuzik di tepi gelanggang. Berdebar apabila mengetahui hakikat bahawa perlawanan tinju ini diadili bukan berdasarkan kemahiran, tetapi siapa yang mampu bertahan sehingga ke akhir perlawanan.

KEAJAIBAN DUNIA Angkor Wat menjadi salah satu lokasi wajib dilawati dalam percutian kami ini. Tatkala tiba di pintu gerbang, kami begitu kagum dengan hasil binaan seluas kira-kira 203 hektar itu. Yang menariknya, Angkor Wat dibina

menghadap ke barat yang menjadikannya unik berbanding kuil lain di seluruh Kemboja. Monumen ini terdiri daripada tiga bahagian yang menandakan ada tiga tingkat berlainan, khusus untuk individu tertentu sahaja. Tingkat bawah sekali dan kedua adalah khusus untuk para sami dan seterusnya tingkat teratas adalah untuk raja dan keluarganya. Di sekeliling dinding luar kuil penuh dengan ukiran Apsara yang bermaksud dewa perempuan. Dalam beribu ukiran Apsara, terdapat hanya satu ukiran yang menunjukkan ia tersenyum sehingga menampakkan gigi, terletak di salah satu pintu masuk kecil Angkor Wat. Menurut pemandu pelancong, Apsara itu adalah dewa jahat kerana Apsara seharusnya terpelihara adab dan kesucian seorang wanita dan tidak sewenangnya tersenyum lebar begitu. Terlalu banyak perkara menarik yang melambangkan keunikan budaya ketika pemerintahan kerajaan Khmer diekspresi melalui struktur pembinaan, rekaan serta kehalusan seni Angkor Wat. KEINDAHAN MATAHARI TERBENAM Kami tiba di Bakheng Hill pada jam 4.30 petang waktu Kemboja. Lokasi ini menjadi tumpuan buat pelancong menikmati pemandangan indah matahari terbenam. Menariknya, pelancong berpeluang menunggang gajah yang dilatih khas untuk mendaki bukit. Sampai di puncak bukit, kelihatan ramai pengunjung sedang menunggu waktu matahari terbenam sambil menikmati pemandangan indah sawah padi. Waktu malam kami kemudian diserikan dengan aktiviti membeli-belah di Old Market. Terdapat sutera dan songket Kemboja dalam pelbagai gred, aksesori, pakaian serta ukiran tradisional terjual dengan harga yang berpatutan. Kami juga sempat menyusuri Pub Street yang dipenuhi dengan bar serta kafe menarik. Warna-warni lampu hiasan, penjual gerai makanan eksotik seperti belalang goreng serta pelancong asing benar menjadikan lokasi itu begitu meriah dan menarik untuk dikunjungi.

JAUH DARI KOTA Seawal jam 8 pagi, kami menuju ke perkampungan komuniti Islam Kemboja. Lain benar keadaannya dengan di bandar di mana lokasi ini diliputi tanah merah dan berdebu. Kelihatan deretan rumah beratapkan rumbia yang dibina sendiri di atas tanah yang disewa. Melayu Islam yang dikenali juga sebagai Cham kebanyakannya bekerja sebagai penternak lembu dan menjual sosej daging buatan sendiri kepada penjual di Old Market. Di sini terletaknya Masjid An-Nek Mah yang terbesar di Siem Reap. Penduduk Islam menjadi kumpulan minoriti kerana penyingkiran besar-besaran yang dilakukan kerajaan Khmer pada abad ke-12.

Destinasi seterusnya adalah Tonle Sap Lake. Tasik ini memisahkan Kemboja dengan Vietnam dan Thailand. Kami menaiki bot besar untuk ke Chong Kneas atau perkampungan terapung. Kebanyakan mereka adalah imigran Vietnam yang hidup di atas air di dalam rumah kayu yang dibina di atas rakit mahupun bot besar. Sepanjang tasik yang juga kelihatan seperti sungai besar itu ada rumah, sekolah malahan kedai runcit. Ketika asyik melihat sekeliling, kami dikejutkan dengan beberapa bot kecil menuju laju ke arah bot kami yang sedang bergerak. Ada seorang gadis kecil melompat agresif ke dalam bot dan dengan tersenyum, dia menjual air minuman tin kepada kami. Sememangnya ia adalah kejutan besar buat pelancong. Selain mereka yang cuba menjual minuman mahupun makanan ringan, ada juga yang meminta simpati dengan aksi anak kecil atau bayi bermain dengan ular sawa agar kami menghulur sedikit wang sedekah. Terjerit-jerit pelancong wanita apabila disua ular oleh kanak-kanak itu. Kedaifan hidup menjadikan mereka tegar untuk melakukan apa sahaja termasuklah menggunakan anak yang masih kecil sebagai umpan simpati.

Pengalaman berada selama empat hari di Kemboja benar memberi pengalaman baru buat penulis. Daripada semegahmegah Angkor Wat yang menjadi monumen kebanggaan dunia hinggalah pengalaman bertemu dengan rakyat yang daif hidupnya. Kemboja semestinya lokasi yang perlu diterokai lagi di masa akan datang.

Monumen perpustakaan di Angkor Wat

Pradal Serey

Pemandangan indah Angkor Wat

Tomok dan isteri mencuba membuat ukiran di pusat kraftangan.

di Bersama Wat rakan media an Angkor perkarang

Anak kecil perkampungan Islam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.